Marco Silva menegaskan bahawa Everton merupakan pasukan yang baik sejak dari minit pertama permainan ketika menentang Manchester United di Goodison Park, malam tadi.
Pada perlawanan tersebut, Everton beraksi dengan begitu cemerlang sekaligus mencatatkan kemenangan 4-0 hasil jaringan Richarlison, Gylfi Sigurdsson, Lucas Digne dan Theo Walcott.
Kemenangan itu juga adalah yang terbesar buat The Toffees keatas United dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Kejayaan bermakna ini sedikit sebanyak telah menyukarkan peluang Manchester United dalam memburu slot empat pasukan terakhir bagi melayakkan mereka untuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah 2019/20.
”Ia merupakan satu aksi yang sangat baik, kami adalah pasukan yang terbaik sejak dari minit pertama permainan.”
”Kami juga mempunyai detik-detik yang baik, detik baik dalam bola sepak dan berkualiti. Kami pasukan yang kukuh ketika situasi tanpa bola.”
”Walaupun dengan jaringan awal yang dihasilkan, kami terus menekan mereka dengan tinggi dan tidak memberikan peluang buat mereka (Manchester United) untuk merasa selesa berada di dalam padang.”
”Dengan cara tersebut, anda boleh mengekalkan ‘clean sheets’ menentang pasukan seperti ini dan membuatkan mereka tidak selesa di padang serta petang yang tenang buat penjaga gol kami (Jordan Pickford),” jelas Silva lagi.
Kemenangan yang sudah pasti mencuri tumpuan banyak pihak itu meletakkan Everton di tangga ke-7 Liga Perdana Inggeris setelah mengumpul 49 mata hasil 14 kemenangan, tujuh keputusan seri dan 14 kekalahan daripada 35 perlawanan.