Setelah tersenarai di antara salah sebuah pasukan yang mengalami kelewatan untuk melengkapkan dokumen pendaftaran untuk Liga Perdana 2018, pihak Marcerra United FC (Kuantan FA) tampil untuk memberikan penjelasan berhubung masalah tersebut.
Menurut Presiden Marcerra United, Dato’ Seri Dr Feardaus Khairuddin menjelaskan bahawa kelewatan itu berlaku berikutan proses pengambil alihan kelab dari Kuantan FA masih belum dapat diselesaikan.
Sehubungan dengan itu, Dato’ Seri Dr Feardaus mendesak agar pihak pengurusan Kuantan FA dapat memberikan kerjasama bagi menyelesaikan proses tersebut.
Beliau turut memberikan jaminan masalah yang timbul akan dapat diselesaikan termasuk isu pembayaran gaji tertunggak sekiranya pengurusan lama kelab tersebut dapat mengambil langkah pantas dalam mematuhi terma dan syarat awal yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak sebelum ini.
“Sebab itu Marcerra United masih menunggu Kuantan FA untuk memenuhi beberapa syarat dalam proses pengambil alihan, termasuk pengesahan hutang-hutang dan liabiliti yang perlu disahkan dengan laporan audit tahunan yang diakui dan mendapat kelulusan daripada FAM, Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) dan Pesuruhjaya Sukan.”
“Ini adalah satu permintaan yang adil disebabkan kami mengeluarkan pelaburan yang besar untuk mengambil alih Kuantan FA.”
“Isu pendaftaran yang lewat serta segala masalah hutang dan gaji tertunggak Kuantan FA akan diselesaikan jika semua dokumen berkaitan diserahkan kepada pihak kami bagi melancarkan pengambil alihan berkenaan dan kelulusan daripada badan yang berkaitan diperolehi secepat mungkin. Kami tidak mahu Marcerra United dipandang prejudis,” jelas Dr Feardaus lagi.
Pada awal bulan Disember lalu, Dato’ Seri Dr Feardaus telah bertemu dengan Presiden Kuantan FA, Datuk Zaliza Zulkipli bersama Timbalan Presiden, Datuk Wan Solihin Wan Hassan dan bersetuju untuk proses pengambil alihan kelab tersebut.
Pertemuan itu juga berjaya mencapai kata sepakat bahawa pihak Marcerra United bersetuju untuk melunaskan segala hutang piutang yang berjumlah RM3.5 juta.
Hutang tersebut merangkumi gaji bagi pemain tempatan dan import serta caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO).
Bagaimanapun menurut Dr Feardaus, Marcerra United masih belum menyelesaikan bayaran kepada Kuantan FA atas beberapa faktor dan mahukan semua tuntutan tersebut diperincikan atas sebab ketelusan.
Dalam perkembangan lain, sebelum ini Macerra United menghadapi masalah pada perlawanan sulung bertemu Sarawak apabila empat pemain import mereka tidak dapat diturunkan kerana ketiadaan permit kerja selepas Kuantan FA tidak mengemaskini sistem permohonan pas kerja yang berkaitan.
Namun, permohonan mereka kemudiannya diluluskan selepas rayuan yang dibuat telah diterima.