Pemain pertahanan Brazil dan Real Madrid, Marcelo berkata bahawa pintu di Bernabeu sentiasa terbuka untuk menyambut kehadiran Neymar.
Marcelo turut menjelaskan tidak ada masalah untuk kemungkinan itu untuk berlaku, kerana Real Madrid bukan milik Cristiano Ronaldo.
Masa hadapan penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar dan pemenang lima kali Ballon d’Or, Ronaldo sentiasa menjadi bualan menuju sepak mula Piala Dunia di Rusia.
Neymar dilaporkan ingin meninggalkan juara Ligue 1, PSG dan berusaha untuk mencari jalan agar boleh menyertai Real Madrid selepas hanya semusim di Parc des Princess.
Manakala bintang Portugal, Ronaldo turut dikaitkan dengan perpindahan dari Santiago Bernabeu selepas membantu Los Blancos menjuarai kejuaraan eropah ke-13 kelab tersebut.
Walaupun Marcelo mahukan Ronaldo terus kekal di Madrid, bek sayap Brazil itu menjelaskan bahawa Ronaldo tidak mempunyai peranan untuk menentukan sama ada Neymar boleh menyertai Real Madrid atau pun tidak.
“Cristiano Ronaldo tidak memiliki Real Madrid. Jika Presiden mahukan mana-mana pemain, maka beliau akan cuba mendapatkannya. Tidak pernah ada peraturan mengatakan Neymar tidak boleh menyertai Real Madrid kerana Cristiano [Ronaldo] berada di sini,” jelas Marcelo.
“Saya mahukan Ronaldo untuk kekal. Semua rakan sepasukan mahukan Ronaldo kekal. Tetapi Ronaldo tidak ada perkaitan dengan ketibaan mana-mana pemain lain.”
“Pintu di Real Madrid sentiasa terbuka untuk pemain seperti Neymar. Pemain terbaik dunia sepatutnya beraksi bersama Real Madrid.”
“Saya pernah menyebut mengenai perkara ini dua atau tiga tahun yang lalu. Saya berkata pemain seperti Neymar harus bermain untuk Real Madrid. Cuma saya tidak tahu bilakah ianya akan berlaku.”