Marcelo menegaskan beliau akan bersara di Real Madrid dan menafikan sebarang bentuk spekulasi beliau akan mengikut jejak langkah Cristiano Ronaldo untuk menyertai Juventus.
Bek sayap kiri antarabangsa Brazil itu dilaporkan menjadi sasaran gergasi dari Turin itu sebelum jendela perpindahan musim panas lalu ditutup.
Juventus dikatakan yakin mendapatkan khidmat Marcelo selepas sebelum itu berjaya membawa masuk bekas rakan sepasukan, Ronaldo ke Serie A.
Untuk memadam segala spekulasi yang timbul, Marcelo tampil melakukan penjelasan, terutama kepada penyokong mengenai perancangan beliau di Estadio Santiago Bernabeu.
Pemain berusia 30 tahun itu telah berjaya menjuarai empat gelaran UEFA Champions Leagie (UCL), sejak menyertai Los Blancos dari Fluminense pada 2007.
“Ia adalah salah satu perkara yang berbaloi untuk dibincangkan. Saya gembira bersama Real Madrid.
“Ia adalah seperti rumah saya, dan saya masih memiliki kontrak selama beberapa tahun lagi bersama kelab ini,” ujar Marcelo kepada Real Madrid TV baru-baru ini.
“Saya sangat gembira untuk kekal kerana Real Madrid adalah kelab terbaik dunia. Sudah tentu saya hanya mahu beraksi untuk kelab terbaik.
“Ianya sesuatu yang bagus untuk berbicara mengenai hal ini kerana kita tahu akan sentiasa ada spekulasi dan khabar angin
“Ia sukar sekali untuk sentiasa mengulangi bahawa saya mahu kekal dan akan sentiasa memberikan yang terbaik di sini.
“Saya hanya perlu menjalankan tanggungjawab saya. Saya perlu menunjukkan apa yang saya boleh lakukan untuk pasukan setiap tahun.
“Saya menikmati setiap minit beraksi untuk Real Madrid. Saya akan terus memberikan yang terbaik dan mahu memastikan penyokong gembira dengan bola sepak yang diperagakan, sambil melihat kelab ini sentiasa bersaing di peringkat tertinggi.
“Ini kerana penyokong berhak untuk mendapat semua itu.
“Saya mahu terus bersama Real Madrid untuk tahun-tahun mendatang, dan berasa tenang mengenai masa depan.
“Mereka di media sosial gemar menyebarkan khabar angin dan menimbulkan masalah yang sebenarnya tidak wujud.
“Saya sentiasa dahagakan kejayaan sebagaimana usia saya baru 18 tahun, dan saya akan berada di sini sehingga ke garisan penamat, jelas Marcelo panjang lebar mengenai kedudukannya.