Persatuan Jurulatih Akademi Nasional Sepanyol (ANEFF) telah melaporkan perbuatan bek kiri Real Madrid, Marcelo dan akademi Campus 12 kepada Kementerian Sukan kerana melanggar etika profesionalisme.
Marcelo dan rakan senegara Caio Alves, seorang pemain bola sepak profesional di dalam dewan bersama FS Valdepenas telah mengendalikan sendiri latihan di akademi Campus 12 milik mereka menggunakan kemudahan di sebuah dewan di Getafe.
Latihan yang diadakan untuk peserta terdiri daripada kategori bola sepak 7 sebelah, bola sepak pantai, dan juga untuk kategori bola sepak di dalam dewan.
Presiden ANEFF, Conradi Galan memberitahu ESPN:
“Kami telah melaporkan perbuatan Marcelo dan Caio Alves beserta akademi milik mereka kerana menjalankan sesi latihan kepada peserta tanpa kelayakkan yang sah sebagai pengamal jurulatih yang bertauliah.”
“Mereka memiliki sebuah akademi bola sepak, dan menganjurkan sesi latihan di sebuah dewan yang kebetulan terletak hanya 200 meter dari ibu pejabat ANEFF.”
“Apabila ia berlaku di hadapan mata kami sendiri, maka tidak patut kami hanya membiarkannya berlaku begitu sahaja.”
Ketika dihubungi oleh ESPN, Campus 12 enggan memberikan sebarang komen berhubung isu ini.
Selain daripada Marcelo dan Caio Alves, seorang lagi kakitangan jurulatih di Campus 12 ialah Andres Parada. Parada adalah satu-satunya jurulatih yang mempunyai sijil dan kelayakkan untuk menjalankan latihan dan sebarang bentuk klinik atau kursus bola sepak untuk peserta.
Campus 12 dilaporkan mengenakan bayaran sebanyak €215 seorang untuk setiap minggu latihan diadakan. Kumpulan sasaran Campus 12 terdiri daripada golongan kanak-kanak.