Ketika ramai penyokong Juventus mahu pemain tengah terbaik mereka, Paul Pogba terus kekal di Turin, Marcello Lippi pula menggesa Juventus untuk menjual.
Bekas pengurus lagenda yang pernah membimbing Juventus menjadi juara Serie A sebanyak 5 kali dan juara UEFA Champions League 1 kali itu percaya penjualan Pogba akan menjadikan Juventus lebih hebat.
“Kami menang segala-galanya selepas menjual Zidane,” kata Lippi kepada media Itali, La Gazzetta dello Sport.
Lippi turut menjelaskan duit yang Juventus perolehi daripada yuran perpindahan Pogba boleh dilaburkan semula untuk membawa 3-4 pemain baru.
“Semasa saya kembali mengurus Juventus, Andrea Agnelli (ahli lembaga pengarah dan anak presiden Juventus) memberitahu saya mereka mahu menjual Zidane.”
“Pada mulanya saya tak bersetuju. Tetapi beliau berjanji duit yang kami dapat akan dilaburkan semula kepada pasukan.”
“Dengan duit penjualan Zidane lah, kami dapat membeli Gigi Buffon, Pavel Nedved dan Lilian Thuram. Kami menang segala-galanya. Jadi ya, Juve patut menjual Pogba.”
Ketika ini Pogba dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya €100 juta (£79 juta) oleh Juventus.
Jika Pogba berjaya dijual pada harga tersebut, Juventus bakal mengaut keuntungan besar memandangkan mereka berjaya membawa masuk Pogba secara percuma dari Manchester United.
Tetapi bagi peminat Pogba, terutamanya Manchester City yang bakal diurus Pep Guardiola pada musim depan, harga £79 juta dan gaji £340,000 seminggu bukanlah satu masalah.
Tetapi mereka perlu berhadapan dengan saingan Real Madrid, PSG, Chelsea dan Bayern Munich.
Menurut laporan akhbar Sepanyol, Sport dan media UK, Sky Sports, Pep Guardiola mahu membina skuad Manchester City yang akan memaksimumkan potensi Paul Pogba.
Bagi kami cadangan Lippi ada risikonya tersendiri kerana salah satu pemain baru Juventus yang dibawa masuk dengan duit penjualan Zidane adalah Marcelo Salas – penyerang Chile yang gagal di Turin.
Malah Pavel Nedved pun sebenarnya hanya bermain pada tahap memuaskan saja jika dibandingkan dengan tahap persembahannya di Lazio.
Lippi juga lupa memberitahu bahawa Juventus sebenarnya ‘gagal’ memenangi UEFA Champions League selepas Zidane dijual.
Sebaliknya Zidane yang memenangi UEFA Champions League bersama kelab barunya, Real Madrid.
Sementara itu, ketika ditanya oleh media mengenai kemungkinannya kembali menjadi pengurus di AC Milan, Lippi menjawab:
“Kadang kala saya rindu juga (mengurus pasukan) ketika menonton perlawanan di TV, tetapi saya tak mahu melatih pasukan lagi. Saya mahu bersara dengan tenang.”
Baca juga: Pogba: Latihan Juventus Sangat Sukar, Latihan Manchester United Bagaikan ‘Percutian’