Pemain remaja akademi La Masia, Marc Jurado dilaporkan telah menolak peluang untuk menyertai skuad utama kelab Sepanyol itu dan sebaliknya memilih Manchester United menurut satu sumber kepada ESPN.
Pemain itu layak untuk menandatangani kontrak profesional pertamanya apabila sudah melepasi syarat berusia 16 tahun pada April lalu.
Juara Sepanyol itu menawarkan kontrak tiga tahun dengan gaji tahunan yang agak lumayan bagi seorang pemain remaja iaitu €60,000 (RM281,000) pada tahun pertama dan boleh meningkat kepada €100,000 (RM468,000) pada tahun ketiga serta bonus €200,000 (RM937,000) sekiranya beliau berjaya membuat penampilan untuk skuad Barcelona B.
Bagaimanapun, Jurado yang beraksi di posisi pertahanan kanan yang beraksi untuk skuad bawah 16 tahun (B-16) Barcelona sebaliknya telah menerima pelawaan untuk menyertai kelab Liga Perdana Inggeris itu pada musim ini.
Dengan kontraknya sebagai pemain akademi Barcelona akan tamat tidak lama lagi, Manchester United tidak perlu mengeluarkan belanja besar untuk mendapatkan dengan hanya perlu membayar pampasan pembangunan yang dilaporkan hanya kira-kira €200,000 sahaja.
Dengan saingan bola sepak di peringkat remaja sudah pun dibatalkan di Sepanyol, Jurado sudah pun bermain perlawanan terakhirnya untuk kelab Catalan tersebut.
Barcelona boleh dikatakan kerap kehilangan pemain akademi mereka yang memilih untuk menyertai pasukan Eropah lain. Antaranya adalah Eric Garcia dan Andria Bernabe yang disambar Manchester City sementara Arnau Puigmal pula menyertai satu lagi kelab yang berpangkalan di Barcelona, Espanyol pada dua tahun lepas.
Jurado bukanlah pemain pertama daripada akademi La Masia yang menyertai United kerana Gerard Pique juga memilih untuk ke Old Trafford pada 2004 ketika berusia 17 tahun dan sempat membuat 10 penampilan sebelum kembali menyertai Barcelona pada 2006.
Menurut sumber, Barcelona ternyata terkilan kehilangan pemain pertahanan tersebut dan kecewa dengan ejennya, Carlos Lacueva, anak kepada bekas pengarah kelab.
Bagaimanapun mereka masih berharap untuk mengikat beberapa pemain akademi lain seperti penyerang Pablo ‘Gavi’ Paez dan Ilias Akhomach yang juga merupakan rakan sepasukan Jurado dalam skuad B-16 dan bakal menandatangani kontrak profesional pertama mereka di Nou Camp tidak lama lagi.
Kredit Foto: Transfer Scout