Diego Maradona Junior, anak kepada legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona berkata beliau gembira dengan perkhabaran James Rodriguez akan meninggalkan Real Madrid untuk menyertai Napoli.
Namun demikian, beliau memberi amaran agar pemain antarabangsa Colombia itu tidak memilih jersi No.10 yang pernah disarung oleh ayahnya bersama kelab Naples itu satu ketika dahulu.
“Saya selalu meninggalkan komen memberitahu [James] untuk menyertai Napoli di gambar-gambar [media sosial].” ujar Maradona Jr.
“Saya sentiasa berbuat demikian, dan pernah sekali itu beliau memberi reaksi ‘Like’ kepada komen saya.
”Ia adalah satu impian yang menjadi kenyataan jika James [Rodriguez] menyertai Napoli. Pemain dengan kualiti beliau, dan kebolehan kaki kiri akan menjadikan pasukan [Napoli] lebih bagus. Bandar ini akan mengalu-alukan beliau dengan tangan terbuka, dan saya yakin James akan tampil cemerlang di sini.”
Maradona Jr. juga tahu perbincangan sedang rancak dilakukan membabitkan Real Madrid dan Napoli, dan kelab Serie A itu dikatakan mahu Rodriguez menyertai mereka secara pinjaman terlebih dahulu sebelum perpindahan itu dijadikan tetap.
“Dari apa yang saya tahu, perbincangan sekarang sedang rancak dilakukan. Cuma sekarang kedua-dua kelab sedang memilih formula terbaik untuk menjadikan ia satu kenyataan. Perkara-perkara lain telah diselesaikan,” ujar beliau kepada Marca.
Walaupun demikian, Maradona Jr. enggan Rodriguez menyarung jersi ikonik No.10 yang pernah disarungkan oleh bapanya.
Diego Maradona dianggap sebagai salah seorang legenda bola sepak dunia pernah beraksi untuk Napoli sekitar 1980an sehinga 1990an. Napoli memutuskan jersi No.10 untuk bersara sebagai penghargaan terhadap legenda dari Argentina itu.
“Jangan sesekali menyentuh jersi No.10. Ia adalah harta hak milik keluarga ini,” ujar Maradona Jr. sebagai amaran kepada Rodriguez.
“Sebelum ini terdapat khabar angin Napoli akan memberikan jersi tersebut kepada Gonzalo Higuain, dan kemudian kepada Lorenzo Insigne, tetapi ia harus seperti di NBA. Jika anda memberikan persaraan kepada jersi-jersi tertentu, ia harus kekal sebegitu.”