Pertembungan dua pasukan teratas, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur di Stadium Bandaraya pada Sabtu ini diibaratkan seperti aksi final Liga Premier dengan tiga mata bakal meletakkan pemenang berada dalam keadaan selesa bergelar juara.
Berbekalkan rekod tanpa kalah yang dimiliki kedua-dua pasukan selepas tujuh perlawanan, sudah pasti aksi Pulau Pinang dan Kuala Lumpur akan berlangsung dengan penuh sengit serta sukar diramal.
Ketua jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira, tidak menafikan banyak elemen menarik bakal terjadi apabila skuad kendaliannya melayani kunjungan Kuala Lumpur di laman sendiri sambil menghormati kekuatan lawan yang dianggapnya punyai kualiti setanding pasukan CIMB Liga Super.
Namun itu tidak bermakna Manzoor gentar dengan keupayaan dimiliki skuad bimbingan Nidzam Adzha Yusoff ini sebaliknya skuad Harimau Kumbang sudah bersedia dengan perancangan tersendiri bagi menjerat Kuala Lumpur.
“ Kuala Lumpur ini sebenarnya pasukan setaraf Liga Super jika melihat kualiti serta pemain yang ada pada mereka tetapi kami akan berjuang habis-habisan dalam mendapat tiga mata berharga.
“ Kemenangan ini bukan sahaja meletakkan kami semakin hampir dapatkan slot ke Liga Super malah meletakkan dalam kedudukan baik bergelar juara Liga Premier.
“ Saya juga semakin gembira banyak peningkatan ditunjukkan pasukan terutama sejak kehadiran Lee Chang Hoong yang boleh bermain dalam dua perlawanan lalu kerana banyak membantu Endrick dan Casagrade di bahagian atas, “ katanya.
Dalam masa sama, Manzoor juga mahu memburu kemenangan sebagai tanda terima kasih kepada penyokong-penyokong setia Pulau Pinang yang tidak pernah jemu di belakang pasukan.
Malah yang membuatnya beliau terharu adalah sambutan penyokong-penyokong Pulau Pinang yang sanggup datang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada minggu lalu bagi meraikan pemain dan pegawai selepas menang dengan Johor DT II di Larkin.
“ Memang saya berasa sedih juga penyokong tidak boleh hadir ke Bandaraya pada Sabtu ini untuk berikan sokongan kerana jika dilihat di media sosial, begitu banyak sekali komen penyokong terhadap kami.
“ Jika kami berjaya mendapatkan kemenangan dengan Kuala Lumpur, saya mahu hadiahkan tiga mata ini kepada penyokong dan tidak boleh dilupakan ada antara mereka berkorban masa serta tenaga untuk datang ke lapangan terbang bertemu dengan kami, sebelum ini, ” katanya.
Kredit foto: FA Penang
Baca artikel lain dari kami mengenai perkembangan terkini bola sepak seluruh dunia: