Untuk saingan Liga Premier 2020, Pulau Pinang sedang dalam fasa persiapan akhir pasukan dan dijangkakan akan ada beberapa lagi pengumuman pemain untuk melengkapkan senarai 26 pemain.
Dalam misi untuk kembali ke Liga Super 2021, Harimau Kumbang perlu mengulangi prestasi terbaik seperti pusingan kedua liga musim lalu, seterusnya menamatkan musim di kedudukan terbaik.
Ketika ini, Pulau Pinang yang sedang menjalani latihan pra-musim dan kelihatan kelibat beberapa pemain luar negara mencuba nasib untuk meraih kontrak bersama Pulau Pinang, musim hadapan.
Begitupun, menurut pengendali pasukan, Manzoor Azwira ketika dihubungi Semuanya BOLA, pemain-pemain tersebut masih gagal memikatnya dan sedang mempertimbangkan kemungkinan lain.
Dua posisi menjadi keutamaan buatnya untuk pemain import iaitu pertahanan tengah dan juga penyerang kedua, selain dua pemain tempatan untuk melengkapkan senarai pemain musim hadapan.
“Untuk import, saya masih mencari posisi pertahanan tengah dan penyerang kedua untuk digandingkan dengan Casagrande. Dan dua lagi adalah pemain tempatan,” jelasnya mengenai pemain yang masih dicari untuk melengkapkan senarai pemainnya.
“Memang ada pemain yang sedang mencuba nasib, tetapi belum ada yang saya berminat. Masih tercari-cari lagi pemain tersebut,” tambahnya sambil memaklumkan masih ada masa untuknya.
Ini kerana, berdasarkan pengumuman Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tempohari, Liga Malaysia bakal bermula pada penghujung Februari dan ini telah memberikannya masa untuk memilih yang terbaik dan sesuai dengan perancangan pasukan nanti.
“Disebabkan masa masih ada, saya tidaklah terlalu terkejar-kejar seperti sebelum ini. Saya masih ada ruang untuk nilai semula perancangan pasukan,” ulasnya sambil menjelaskan beliau telah mengubah perancangan pasukan berikutan perubahan jadual itu.
Musim lalu, Manzoor Azwira memiliki tiga pemain import di posisi serangan dan untuk pertahanan tengah, kudrat pemain tempatan telah digunakan sepenuhnya antaranya dua pemain muda Harimau Kumbang, Abdul Qayyum Jabbarullah dan Khairul Akmal Rokisham.
Semuanya BOLA turut bertanya kemungkinan untuk memanggil semula pemain musim lalu seperti Kang Seung-jo, Sergio Aguero atau Julian Bottaro untuk kembali, pengendali berusia 43 tahun itu tidak memberi kepastian tetapi tidak menolak kemungkinan itu.
Kredit Featured Image: FA Penang