Pemain Sri Pahang, Manuel Hidalgo mendedahkan yang beliau ingin terus kekal bersama-sama pasukan tersebut walaupun musim mereka tahun ini sudah berakhir.
Walaupun Pahang mengalami musim yang ‘sendu’ pada tahun ini, namun bagi Hidalgo, beliau tetap gembira dan ingin bersama-sama kelab itu sekurang-kurangnya hingga tamat kontraknya.
Hidalgo yang mempunyai baki kontrak setahun lagi bersama-sama Pahang ingin terus kekal di Darul Makmur sebelum mengambil apa-apa jua keputusan.
Malah, Hidalgo juga menyerahkan kepada ejennya berkenaan masa hadapannya bersama Tok Gajah.
“Saya pun tidak berapa pasti berkenaan hal ini [perpindahan], saya serahkan kepada ejen saya yang akan uruskan semuanya.
“Yang pasti saya tetap gembira di sini,” kata Hidalgo menerusi Shoot!.
Apa yang menjadi keutamaan Hidalgo sekarang ini adalah beliau ingin pulang ke Argentina untuk bersama-sama keluarganya yang sudah setahun terpisah.
“Sekarang ini, saya cuma ingin pulang ke kampung dan bergembira bersama-sama keluarga.
“Sudah setahun saya tidak berjumpa dengan mereka dan kali ini saya amat teruja untuk bertemu mereka,” ujar Hidalgo lagi.
Musim ini, Hidalgo menghasilkan tujuh gol untuk dan 11 bantuan gol dalam kesemua kejohanan yang disertai Sri Pahang.
Kelibat beliau di atas padang untuk Tok Gajah jelas begitu disenangi oleh penyokong mereka dan semestinya penyokong Pahang mahukan beliau terus kekal di Darul Makmur melebihi tempoh kontraknya yang akan berakhir pada 2024.