Sekarang adalah musim pilihanraya. Dan sudah pastinya setiap parti atau calon cuba menarik perhatian pengundi dengan manifesto mereka.
Antara yang menarik perhatian kami adalah manifesto Dr. Zaidi ini yang menawarkan siaran sukan utama dan EPL percuma di siaran TV kerajaan, RTM. Jadi, sebab ia berkaitan bola sepak, kami akan berikan pandangan kami.
Asasnya, nama EPL digunakan sebagai salah satu manifesto kerana populariti liga tersebut di Malaysia dan tidak semua yang mampu atau sanggup membayar perkhidmatan tv satelit, iaitu Astro.
Berapa pakej EPL semusim?
Dalam artikel kali ini, kami akan jelaskan angka secara purata. Astro sebelum ini mengumumkan kenaikan pada bayaran pakej sukan di Malaysia.
Salah satu sebabnya adalah kerana EPL. Antara kenaikan yang kita semua ingat adalah peningkatan RM8.00 pada Ogos tahun lalu.
Bermula musim lalu, EPL berjaya menjual hak penyiaran £5.14 billion untuk 3 musim kepada penyiar-penyiar gergasi dalam penyiaran. Setiap penyiar akan membayar jumlah berbeza berdasarkan pakej EPL yang mereka ambil.
Ini bermakna musim lalu, pasukan di tangga ke-20 EPL mendapat sekurang-kurangnya £99 juta manakala juara EPL akan mendapat sekitar £156 juta.
Ini adalah graf yang menunjukkan hasil penjualan pakej penyiaran oleh EPL dalam angka billion pound sterling.
Hak penyiaran baru bermula musim 2019/2020 pula sedang mengusahakan untuk potensi mendapat £10.9 bilion kerana adanya pembekal tv dalam pelbagai platform lain termasuk di atas talian. Buat masa ini, EPL yakin mereka akan mendapat sekurang-kurangnya £8.5 billion untuk tempoh tersebut.
Pada musim 2013-206, Astro membayar £128 juta untuk EPL. Ianya bersamaan dengan £42.7 juta setahun ataupun RM238 juta. Ini adalah laporan oleh Sports Intelligence tentang jumlah dibayar oleh pembekal perkhidmatan tv di Asia untuk EPL bagi tempoh 2013-2016.
Untuk pengal 2016-2019, di Bangladesh, Ghazi TV telah membeli hak penyiaran EPL untuk 3 musim bermula 2016-19 dengan nilai £57 juta bersamaan dengan RM318.4 juta semusim.
Astro dalam satu kenyataan mereka kepada The Star, mereka menyatakan mereka terpaksa membayar lebih sekitar 25%-30% untuk penyiaran 2016-2019 berbanding dengan sebelum ini. Jadi kami ambil purata 27% untuk anggaran angka dibayar Astro untuk musim 2016-17. Kami mendapat angka anggaran sekitar RM162.56 juta.
Jadi anda sudah boleh bayangkan berapa angka yang perlu dibayar oleh parti pemerintah yang mahu membekalkan siaran EPL percuma kepada rakyat tanpa mengaut sebarang keuntungan. Siapa tak suka benda percuma?
Dan harus diingat, bermula 2019/2020, EPL akan menggunakan kadar hak penyiaran yang baru. Dan ianya sangat tinggi.
Adakah parti pemerintah mampu?
Senang cerita, tiada apa yang tidak mampu dibayar oleh parti pemerintah jika mereka berkuasa. Cuma soal sekarang adalah sanggup atau tak untuk membayarnya.
Persoalan yang lebih besar, adakah ia satu pembaziran ataupun sesuatu yang ada manfaat?
Banyak pertimbangan lain yang harus dibuat. Apabila sudah memiliki hak penyiaran EPL, sudah pasti siaran tv akan ditambah. Dan mungkin juga kerajaan berbelanja untuk membekalkan perkhidmatan dalam resolusi tinggi.
Astro dalam kenyataan mereka menyatakan, pada 2015 mereka membelanjakan RM1.6 billion untuk konten EPL dan sukan. Angka itu sentiasa meningkat setiap tahun. Pada 2017, mereka membelanjakan RM1.9 billion untuk konten sukan mereka.
Kos itu merangkumi pertambahan saluran, kualiti siaran, dan banyak lagi kos operasi yang lain. Untuk parti pemerintah yang mahu menawarkan siaran EPL dan sukan utama percuma, ia mungkin akan lebih murah daripada angka tersebut. Tetapi ia tetap pada kadar yang besar.
Rumusannya, dengan perbelanjaan sekitar RM150 juta setahun untuk EPL dan bayaran kos operasi yang lebih RM1 billion untuk konten sukan utama termasuk EPL, mungkin lebih baik ia dibelanjakan untuk keperluan lain.
Harus diingatkan, artikel ini tiada kaitan dengan isu berkempen untuk parti atau pihak yang lain. Kami cuma memberikan gambaran kepada anda tentang angka untuk siaran EPL percuma di tv. Hala tuju perbincangan kita haruslah spesifik kepada topik EPL percuma di tv kerajaan. Adakah ia relevan?
Masing-masing ada pandangan, dan kami alu-alukan perbincangan yang terbuka.
Kepada semua calon pilihanraya, selamat maju jaya.