Pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui yang skuadnya layak untuk kalah apabila tunduk 1-3 kepada Crystal Palace, dalam aksi awal pagi tadi.
Wilfried Zaha berhasil meledak dua gol peribadi disamping jaringan awal oleh Andros Townsend di minit ke-7 membantu skuad kendalian Roy Hodgson merekodkan dua kemenangan liga berturut-turut pada permulaan saingan Premier League 2020/21.
Mereka lebih tajam, lebih kuat
Turun dengan boleh dikatakan skuad yang hampir penuh, anak didik Solskjaer dilihat menguasai penuh perlawanan dengan 76 peratus penguasaan padang, namun gagal menterjemahkannya menerusi kemenangan dalam aksi pertama mereka.
Namun, pengendali itu tiada masa untuk bermain dengan alasan apabila terus mengakui Crystal Palace lebih baik berbanding mereka dalam segenap aspek.
“Kami tidak layak untuk dapat apa-apa langsung daripada perlawanan ini. Kami bermula teruk dan perlahan, seperti pasukan yang baru hendak memulakan persediaan pra-musim mereka,” jelas Solskjaer yang ditemui media sejurus perlawanan.
“Mereka lebih tajam daripada kami, lebih kuat daripada kami dan kami perlu segera kejar mereka. Kami tidak boleh tunggu untuk dapatkan pra-musim yang normal kerana perlawanan selepas ini adalah pada Selasa [berdepan Luton Town],” ujarnya.
Tidak sempat persediaan pra-musim
Manchester United hanya sempat mengadakan satu perlawanan persahabatan sebagai persediaan pra-musim, sementara skuad The Eagles pula telah bermain empat perlawanan termasuk dua aksi liga dan satu lagi aksi Carabou Cup minggu lalu.
“Kami kekurangan dari segala aspek. Prestasi ini tidak cukup bagus untuk berdepan mana-mana pasukan Premier League, jadi kami perlu bekerja lebih keras,” tambahnya.
Ketika ditanya adakah Manchester United perlu ditambah baik lagi dengan jendela perpindahan masih terbuka, Solskjaer seakan-akan menolaknya dengan kenyataan masih terdapat pemain-pemain yang boleh bermain di bangku simpanan.
Menurutnya, “Kami ada ramai pemain menanti untuk beraksi, jadi mereka perlu mula mengetuk pintu dan mengatakan yang mereka layak untuk bermain selepas ini.”
Penutup
Satu gol daripada Manchester United telah diledak oleh pemain baharu, Donny Van de Beek yang masuk menggantikan Paul Pogba pada minit ke-67. Gol yang dijaringkan pada minit ke-80 itu merupakan gol dalam penampilan sulungnya.
Namun, ianya tidak cukup untuk membantu The Red Devils meraih tiga mata, malah United menempuhi kekalahan ketiga dalam aksi pembukaan di era Premier League.
KREDIT FEATURED IMAGE: THE PEOPLES PERSON