Manchester United, Kelab Terkumpulnya Bintang Bola Sepak Yang Gagal Menyinar

Buka sahaja mana-mana rangkaian media di dalam dan juga dari luar negara, dan pergilah ke bahagian sukan. Antara topik yang hangat diperkatakan ialah kekalahan memalukan Manchester United kepada Everton pada Ahad lalu. Di dalam negara, ia jelas topik yang lebih menarik perhatian berbanding isu-isu semasa lain yang berlaku di dalam negara.

Sekurang-kurangnya kekalahan itu menarik lebih banyak perhatian dari cerita hiburan yang turut disiarkan oleh akhbar nasional negara, Berita Harian pada hari yang sama.

Solskjaer minta maaf

Prestasi hambar Manchester United sebenarnya bukan sahaja ketika perlawanan menentang Everton. Mereka tewas enam dari lapan perlawanan terakhir mereka sejak Mac lalu.

Kekalahan terbaru mendorong pengurus pasukan, Ole Gunnar Solskjaer tampil melakukan permohonan maaf kepada penyokong.

Seraya dengan itu, pengurus yang dilantik untuk menggantikan Jose Mourinho secara interim pada Disember sebelum dilantik secara tetap pada Mac lalu memberikan amaran keras kepada barisan pemain sedia ada.


Manchester United sememangnya dikenali sebagai salah sebuah kelab di dunia yang sering membawa masuk atau pun menghasilkan pemain dunia bertaraf bintang.

Namun sekiranya prestasi semasa di dalam tempoh sebulan yang lalu diambil kira, pemain-pemain ini ibarat bintang yang hilang sinarnya. Berikut adalah antara lima pemain paling mengecewakan setakat ini.

David de Gea

Selaku kapten pasukan dalam perlawanan menentang Everton, penyokong pasti mengharapkan prestasi yang lebih baik dari penjaga gol antarabangsa Sepanyol ini. Pada musim ini, De Gea telah dibolosi sebanyak 48 kali – jumlah terbanyak sejak beliau berhijrah ke Old Trafford pada 2011.


Beliau turut melepaskan lapan gol hasil percubaan dari jarak jauh pemain lawan. Walaupun banyak faktor lain yang boleh dijadikan alasan kepada prestasi De Gea – seperti kualiti pertahanan tengah – namun dengan pengalaman yang ada, beliau sepatutnya beraksi dengan lebih baik.

Kesilapan ketika menentang Barcelona adalah antara contoh kelalaian oleh De Gea. Dalam perlawanan menentang Everton, beliau sepatutnya mampu menepis atau memintas jaringan Richarlison. Jaringan Gylfi Sigurdsson juga nampak menarik. Tetapi bukankah ianya adalah rutin buat De Gea menyelamatkan percubaan sedemikian?

Fred

Merupakan pemain yang dibawa masuk oleh Jose Mourinho, Fred tiba di Old Trafford dengan tanda harga £52 juta. Tahukah anda jumlah tersebut cukup untuk Ajax melabur khusus untuk kesebelasan utama yang berjaya melayakkan diri ke separuh akhir UEFA Champions League pada minggu lalu?

Okay, mungkin perbandingan itu tidak munasabah. Tetapi dengan nilai sedemikian, harapan pasti diletakkan oleh pasukan dan kelab untuk beraksi dengan lebih baik – walaupun beraksi di musim pertama.

Sejak Solksjaer mengambil alih, Fred lebih kerap diturunkan dan berjaya melengkapkan 86.83% hantaran. Ia statistik yang baik, namun itu bukan isunya. Sehingga kini pemain dari Brazil ini hanya menghasilkan satu bantuan gol – iaitu ketika United tewas 2-1 kepada Wolves pada awal April.

BARCELONA, SPAIN – APRIL 16: Fred of Manchester United runs with the ball during the UEFA Champions League Quarter Final second leg match between FC Barcelona and Manchester United at Camp Nou on April 16, 2019 in Barcelona, Spain. (Photo by Quality Sport Images/Getty Images)

Dalam tempoh itu, beliau turut menghasilkan empat peluang untuk rakan sepasukan menjaringkan gol. Sebagai perbandingan, Alexis Sanchez dan Victor Lindelof menghasilkan lima peluang untuk menjaringkan gol.

Isu sebenarnya ialah Fred bukanlah pemain tengah yang mampu menghasilkan banyak peluang jaringan. Apa yang dipamerkan oleh Fred ialah aksi seperti seorang pivot yang sentiasa mobil seakan-akan seorang pemain tengah box-to-box. Namun jika itu adalah peranan sebenar Fred, beliau telah berjaya melakukan 14 terjahan dan lima pintasan untuk United setakat ini. Untuk rekod, Jesse Lingard telah berjaya melakukan 15 terjahan untuk United.

Pembelian terburu-buru oleh Manchester United?

Nemanja Matic

Jika usia diambil kira, Nemanja Matic merupakan pemain paling berpengalaman untuk Manchester United pada hari ini. Namun aksi beliau sejak beberapa perlawanan amat mengecewakan. Tatkala ramai yang menuding jari ke arah kualiti pemain pertahanan tengan yang dimiliki United, ramai lupa peranan besar yang harus dipikul oleh Matic di bahagian tengah pertahanan – terutama untuk melindungi empat pemain yang beraksi di belakang beliau.

“Bagi kes saya, sebagai pemain paling berpengalaman dalam pasukan ini, jika kita gagal bersaing di pertengahan perlawanan, pasukan kita memang sukar untuk bermain. Jika ada sesiapa untuk dipersalahkan, maka sayalah orangnya,” ujar beliau sebagai respon terhadap kekalahan kepada Everton.

Lebih daripada itu, lawan juga seolah-olah amat mudah membocori zon 14 United, bermakna Matic dan Fred tidak memainkan peranan sewajarnya dalam perlawanan tersebut.

Anthony Martial

Masa depan tampak cerah ketika beliau melakukan penampilan pertama di dalam jersi United – dengan gol solo menarik menentang Liverpool. Namun kini, prestasi Anthony Martial ibarat sekadar bayangan kepada potensi yang diperkatakan terhadap beliau sebelum ini.

774 minit aksi di bawah kendalian Solksjaer di aksi liga, Martial hanya berjaya mencipta satu peluang, menjaringkan tiga gol dan merekodkan 505 sentuhan.

Martial

Untuk rekod, Ander Herrera memiliki 659 sentuhan walaupun beraksi kurang 42 minit berbanding pemain dari Perancis itu.

Di Champions League, rekod oleh Martial lebih teruk. 132 minit aksi, pemain berusia 32 tahun itu hanya menjaringkan satu gol dan bantuan gol, dan melengkapkan dua gelecekan. Namun selepas menandatangani kontrak baharu, dan disebabkan faktor usia, Martial kemungkinan besar akan diberikan peluang kedua untuk membuktikan diri di United.

Romelu Lukaku

Hanya beberapa bulan yang lalu, Romelu Lukaku tampil seperti penyelamat Manchester United dengan jaringan-jaringan dalam perlawanan menentang Crystal Palace, Southampton dan PSG. Ketika itu, beberapa pemain utama berhadapan dengan kecederaan. Ia seperti isyarat jelas bahawa beliau boleh menjadi pemain sandaran Solksjaer untuk musim-musim akan datang.

Namun sebaliknya yang berlaku. Prestasi tersebut sekadar tiba sementara, dan enam gol dijaringkan dari tiga perlawanan yang dinyatakan di atas kekal statik sehingga kini.

Malah dalam aksi menentang Everton Ahad lalu, Lukaku tidak menghasilkan sebarang percubaan ke arah gol lawan, dengan hanya 39 sentuhan terhadap bola.

Lebih merisaukan, Lukaku sekadar merekodkan 27.27% jaringan dari 11 peluang besar yang dimilikinya di saingan liga sepanjang era Solksjaer. Sering dicemuh kerana sentuhan pertama yang teruk, tidak efektif dalam memastikan fluidity permainan, Lukaku sepatutnya merupakan tonggak utama serangan pasukan. Dengan cakap-cakap perpindahan ke Itali mulai diperkatakan media, pemain antarabangsa Belgium ini boleh menjadi pemain pertama ditunjukkan pintu keluar di Old Trafford.

Rumusan

Tugas berat menanti Ole Gunnar Solskjaer yang kini berada dalam misi untuk melayakkan Manchester United ke pertandingan UEFA Champions League pada musim hadapan. Apakah masalah pemain-pemain di atas? Tidak relevan? Keyakinan diri? Hilang fokus? Skuad dan pemain yang sama juga beraksi dengan baik pada penghujung Disember dan Februari.

Atau sememangnya mereka adalah bintang yang gagal mencapai potensi diri?

Saingan masih lagi terbuka. Namun menanti mereka seterusnya adalah Manchester City, diikuti oleh Chelsea. Apakah peluang United? Adakah Solksjaer akan merombak skuad United untuk perlawanan seterusnya? Mampukah mereka bangkit?

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN