Perak Buru Kemenangan Kedua Dalam Saingan Liga Super Malam Ini

Mehmed

Selepas mengharungi 9 perlawanan Liga super, skuad The Bos Gaurus hanya mampu mencatat 1 kemenangan, 6 seri dan 2 kekalahan. Ia bukanlah keputusan yang dimahukan oleh penyokong mereka ketika saingan liga sudah pun berada di separuh musim.

Justeru itu, Perak tidak mempunyai pilihan lain dan wajib mencatat kemenangan ke atas Kuala Lumpur di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.

Ketua jurulatih pasukan itu, Mehmet Durakovic mengakui mereka terdesak untuk mencari kemenangan kedua dalam liga untuk menyakinkan semula penyokong setelah tewas kepada Pahang, 0-1 pada hari Sabtu lepas.

“Perak perlu menang perlawanan ini dengan apa cara sekalipun.

“Saya bukan hendak memperkecilkan kemampuan lawan tetapi kami sangat-sangat perlukan kemenangan,” katanya dalam Stadium Astro.

Kesebelasan utama pasukan Perak ketika menentang JDT. FOTO: Perak TBG

Jurulatih dari Australia itu juga sedar kedudukan Perak ketika ini kurang memberangsangkan kerana menduduki tangga kesembilan selepas mengutip sembilan mata daripada sembilan perlawanan.

“Selaku juara Piala Malaysia dan naib juara liga 2018, kami sepatutnya berada di kelompok tiga teratas dan bukannya seperti sekarang.

“Kami kerugian 12 mata gara-gara enam kali seri walaupun sepatutnya menang dalam perlawanan-perlawanan itu.

“Oleh demikan, kami perlu mula memenangi baki perlawanan bermula malam ini.

“Untuk menang kami kena menjaringkan gol.Masalahnya, itulah yang gagal kami lakukan setakat ini. Saya berharap ia berakhir malam ini,” tambahnya.

Tonggak import skuad itu, Gilmar Jose Da Silva, Leandro Dos Santos dan Zac Anderson dijangka akan beraksi malam ini selepas digantung satu perlawanan dan mengalami kecederaan. 

Leave a Reply