Usaha Manchester City untuk mendapatkan Walker kini semakin mencabar. Sebelum ini, City dijangka akan mendapatkan Walker sebelum bermula pra-musim.
Namun, dalam situasi semasa, Spurs berkeras mahukan £50 juta untuk bek kanan tersebut. Tawaran dari City dikatakan tidak menepati valuasi harga yang diletakkan oleh Spurs.
Laporan akhbar Independent menyatakan yang Manchester City dan Spurs dalam rundingan. Buat masa ini, Manchester City seakan-akan berat hati untuk menuruti tag harga yang diberikan Spurs ke atas Kyle Walker.
Kedua-dua pasukan akan bertemu di Nashville, Tennesse pada 29 Julai ini. Mungkin ia adalah peluang terbaik untuk kedua-dua pihak berunding.
Kenapa Spurs berkeras dengan harga £50 juta? Ini kerana Walker masih ada baki kontrak 4 tahun dengan Spurs. Ianya selepas pemain antarabangsa England ini menandatangani kontrak lanjutan dengan Spurs musim lalu.
Sebelum ini, City dikaitkan dengan Dani Alves. Dani Alves memberitahu yang beliau tidak terburu-buru untuk menentukan ke mana beliau akan pergi selepas ini.
Kyle Walker kekal menjadi sasaran utama Pep Guardiola. Jika boleh, sudah pastinya Guardiola mahu memiliki kedua-dua pemain ini untuk menguatkan ‘squad depth’.
Masa depan Kyle Walker di Spurs kelihatan tidak menentu selepas pemain itu kecewa kerana kehilangan tempat dalam 2 perlawanan besar berturut-turut musim lalu, iaitu ketika perlawanan penting UCL dan separuh akhir Piala FA menentang Chelsea.
Walker dimaklumkan tentang hal itu ketika sesi latihan apabila pelatih kecergasan beliau tidak menyediakan rutin lebih berat. Ianya selepas Pochettino memberitahu yang Kevin Trippier akan bermain dalam perlawanan tersebut.
Kieran Trippier telah menjadi pilihan utama Pochettino dalam beberapa perlawanan akhir musim lalu. Trippier juga sudah dihadiahkan kontrak baru berdurasi 5 tahun.
Persoalannya kini, adakah Kyle Walker akan beraksi dengan Manchester City pada musim hadapan?
Dalam perkembangan lain, Kelechi Iheanacho dilaporkan sedang menuju ke Leicester City.