Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City terus mengukuhkan cengkaman di tangga teratas liga setelah menumpaskan Arsenal di Stadium Emirates dengan keputusan 3-0 pagi tadi.
Kejayaan tersebut merupakan kemenangan kedua berturut-turut buat skuad bimbingan Pep Guardiola itu keatas Arsenal selepas turut menang dengan jumlah jaringan yang sama pada pertemuan akhir Piala Carabao tempohari.
Pemain antarabangsa Portugal, Bernardo Silva membuka tirai jaringan pada minit ke-15 setelah menerima hantaran dari Leroy Sane yang bertindak cemerlang melakukan gerakan solo ke dalam kotak penalti tuan rumah.
Silva yang meledakkan rembatan kaki kiri berjaya menewaskan Petr Cech untuk permulaan bergaya buat Manchester City.
Arsenal tidak berputus asa bagi mendapatkan jaringan penyamaan dan peluang terbaik mereka menjelma berselang lima minit kemudian.
Namun, sepakan percuma cantik dari jarak jauh oleh Xranit Xhaka berjaya ditepis keluar penjaga gol City, Ederson Moraes bagi menyelamatkan keadaan.
Sane terus menyajikan aksi terbaik beliau pada perlawanan ini apabila berpunca daripada gerakan dilakukannya dari sebelah kiri, beliau melorongkan bola kepada Sergio Aguero untuk membuat umpanan yang berjaya disambar David Silva.
David Silva yang membaca dengan baik gerakan yang diilhamkan Aguero itu, tenang bagi menolak masuk bola untuk gol kedua pada minit ke-28.
Pasukan yang semakin menghampiri kejuaraan Liga Perdana Inggeris tersebut terus bernafsu dengan menjadikan kedudukan 3-0 apabila giliran Sane pula menemui sentuhan jaringan pada minit ke-33.
Arsenal turut berpeluang untuk mendapatkan sekurang-kurangnya jaringan saguhati setelah dianugerahkan sepakan penalti akibat kekasaran dalam kotak penalti yang dilakukan Nicolas Otamendi terhadap Henrikh Mkhitaryan.
Pierre Emerick-Aubameyang bagaimanapun gagal menyempurnakan sepakan tersebut selepas Ederson cemerlang menafikan percubaan penyerang antarabangsa Gabon itu.
Tiga jaringan pada separuh masa pertama itu memastikan tiga mata penuh buat Manchester City sekaligus merupakan kemenangan ke-24 liga buat mereka musim ini.