Manchester City kembali merampas kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Fulham semalam. Ia juga bermakna Fulham telah tewas dalam lapan perlawanan secara bertturut-turut.
Skuad kendalian Pep Guardiola pantas menunjukkan dominasi dalam perlawanan yang diadakan di Craven Cottage itu menerusi Benardo Silva – apabila percubaan pemain Portugal itu dari jarak 20 meter berjaya membolosi penjuru gawang Fulham seawal minit ke-5 perlawanan.
Manchester City terlalu gagah
Sepanjang 15 minit pertama perlawanan menyaksikan City merekodkan 10 percubaan ke arah gawang, sebelum Sergio Aguero menewaskan penjaga gol, Sergio Rico, dari jarak dekat.
Fulham bertahan dengan teruk untuk gol kedua tersebut – setelah memiliki rekod terburuk dengan 72 kali dibolosi musim ini.
Untuk itu, Timothy Fosu-Mensah dan Joe Bryan boleh dipersalahkan kerana kehilangan bola kepada City berhampiran dengan gawang sendiri.
Skuad kendalian Scott Parker turut gagal menyajikan persembahan yang baik untuk mengancam kubu pertahanan City dengan tiada percubaan tepat direkodkan sepanjang perlawanan.
Tiga mata penuh milik skuad kendalian Guardiola ini bermaksud Manchester City kini mempunyai kelebihan satu mata ke atas Liverpool – yang berhadapan tugas berat berhadapan Tottenham di Anfield pada Ahad.
Fulham pula kekal di kedudukan ke-19, dan ketinggalan 16 mata dari zon penyingkiran, dengan saingan musim ini berbaki enam perlawanan.
Kemenangan pertama buat Solskjaer
Manakala di Old Trafford, Ole Gunnar Solskjaer merekodkan kemenangan pertama sebagai pengurus tetap Manchester United – sekaligus melonjakkan mereka ke kedudukan keempat Liga Perdana Inggeris.
Kedudukan tersebut akan kekal sekurang-kurangnya untuk beberapa hari apabila Arsenal akan beraksi menentang Newcastle United di Emirates pada awal pagi Selasa nanti.
Kemenangan untuk United seolah-olah tidak menepati dominasi panjang yang ditunjukkan oleh Watford dalam perlawanan ini,
Walaupun ditekan oleh Watford, Marcus Rashford berjaya menyempurnakan hantaran Luke Shaw untuk memberikan pendahulan buat United pada minit ke-28 perlawanan.
Watford hanya boleh menyalahkan diri sendiri kerana gagal menghukum United dengan deretan peluang yang dimiliki.
Akibatnya, Anthony Martial terus menghukum mereka dengan jaringan jarak dekat untuk memberikan pendahulan selesa 2-0 pada minit ke-72 perlawanan.
Jaringan minit akhir Abdoulaye Doucare untuk Watford bagaimana pun menjadikan perlawanan itu berakhir dengan penuh debaran, sebelum wisel ditiupkan oleh pengadil untuk menamatkan perlawanan.
Kemenangan tersebut juga bermakna kini Manchester United memiliki jumlah mata yang sama dengan Tottenham – sebelum kelab dari London itu berhadapan Liverpool pada malam ini.