Manchester City terus kekal di puncak liga apabila mudah membelasah Swansea City 4-0 awal pagi tadi dan mencatat rekod baru Liga Perdana Inggeris untuk kemenangan terbanyak berturut-turut.
Kemenangan di selatan Wales itu memadamkan rekod 14 kemenangan berturut-turut Arsenal di liga sama yang dicatatkan selama dua musim pada 2002 dan pengurus city, Pep Guardiola berkata, pemainnya tidak berhasrat untuk menamatkan momentum itu.
“Saya amat gembira kerana tugas kami bergantung kepada kemenangan jadi jika kami menang, kami gembira baik dalam kehidupan mahupun tugas kami,” kata pengurus City yang kini pasukannya kekal 11 mata di depan.
“Ada beberapa pencapaian menakjubkan seperti yang dilakukan Liverpool pada 1980-an dan Manchester United di bawah kendalian Sir Alex Ferguson atau Chelsea bimbingan Jose Mourinho. Mereka adalah pasukan menakjubkan.
Namun begitu, Pep Guardiola tegaskan pasukannya tidak pernah memandang mudah pada mana-mana pasukan lawan.
“Ia tidak akan berlaku, kami amat menuntut tinggi komitmen dari para pemain kami.
“Kami boleh kalah, kami boleh keciciran mata tapi memandang enteng, tidak pernah berlaku di masa lalu, sekarang dan akan datang.
“Memenangi 15 perlawanan berturut-turut memberi kami banyak keyakinan.
“Dan jika orang terhibur menonton kami bermain, ia satu hadiah terbaik.”
David Silva menjadi perancang utama dalam kemenangan City dengan menjaringkan dua gol dan menjadi tonggak serangan City sepanjang perlawanan.
Beliau kini telah menghasilkan empat gol dalam tiga perlawanan terakhir termasuk gol pembuka menentang Manchester United di Old Trafford, Ahad lalu.
Guardiola berkata yang kualiti ada pada Silva tidak pernah diraguinya namun mengakui yang beliau gembira menyaksikan pemain tengah Sepanyol itu menjaringkan gol lebih dari kebiasaan.
“Saya amat gembira untuk David, kami tidak boleh menyangkal kualitinya tapi di masa lalu dia tidak menjaringkan begitu banyak gol seperti sekarang.
“Dia tajam dan dalam kondisi hebat.
City memerlukan kemenangan pada minit akhir sejak kebelakangan ini tetapi Guardiola menyatakan ia menunjukkan semangat mereka untuk menang.
“Sudah pastilah ada ketikanya kami bertuah dan menjaringkan gol pada minit terakhir, saya masih ingat Bournemouth sebagai contoh,” kata beliau.
“Namun ia cukup bermakna dari aspek keyakinan dan keinginan untuk sentiasa meraih kemenangan.” jelasnya. -AFP