Mana Lebih Penting Bagi Seseorang Pemain, Minit Permainan Atau Gaji Besar?

Liga Malaysia

Sejak kebelakangan ini, kelab-kelab Liga Malaysia menunjukkan perkembangan positif sama ada di peringkat domestik mahupun Asia sehingga pasukan luar mula memberi perhatian.

Lebih membanggakan, kita berjaya peroleh mata AFC MA Ranking untuk meletakkan kelab Malaysia berada di kedudukan lapan terbaik di rantau Asia.

Ia sekali gus di beri slot 2+2 untuk saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) pada musim 2024/2025.

Sejajar dengan perkembangan itu, banyak pasukan mula melakukan persiapan bagi merebut slot tersebut. Maka sudah tentu perpindahan pemain dari satu kelab ke kelab lain mula menjadi bualan para peminat.

Namun persoalan yang sering dibangkitkan, pemain harus memilih minit permainan tapi gaji kurang atau menerima tawaran bayaran tinggi namun tidak menjamin peluang beraksi?

Bagi sesetengah penyokong bola sepak, mereka lebih menyarankan agar pemain itu memilih minit permainan agar dapat mengembangkan prestasi terbaik daripada ‘diperam’ di bangku simpanan sesebuh pasukan.

Jika minit permainan yang menjadi pilihan utama, sudah pasti pemain itu akan diturunkan dalam setiap perlawanan sekali gus ia dapat meningkatkan prestasi mereka.

Contohnya seperti Faisal Halim yang mendapat beberapa tawaran ketika bersama Pahang dan memilih Terengganu sebagai destinasi seterusnya dalam karier beliau.

Pilihan yang dilakukan ini satu keputusan tepat apabila beliau sering diturunkan sebagai pemain utama dan prestasinya ketika ini juga berada pada tahap terbaik.

Tetapi ada juga berpendapat jika seseorang pemain itu menerima tawaran gaji lumayan, mereka patut pergi untuk menikmati ‘kekayaan’ demi masa hadapan sementara masih ada permintaan.

Hal ini kerana jangka hayat pemain bola sepak di Malaysia secara amnya tidak begitu panjang.

Situasi yang sering terjadi, ketika bersama kelab lama, mereka antara pemain utama namun selepas menerima tawaran lumayan lalu berpindah, minit permainan akan berkurang serta bergelut untuk kembalikan prestasi terbaik seperti sebelum ini.

Contoh seperti Mohamadou Sumareh, ketika bersama skuad Tok Gajah begitu lincah dan digeruni namun selepas bersama Johor Darul Ta’zim beliau memperoleh minit permainan yang kurang.

Ia telah menjejaskan prestasi pemain tersebut terutama ketika beraksi bersama Harimau Malaya.

Situasi berbeza pula bagi Akhyar Rashid, biar pun mempunyai isu yang sama seperti Sumareh di JDT tetapi setiap kali bersama-sama skuad kebangsaan, pemain ini dapat memberikan aksi yang terbaik.

Ada beberapa pemain sebelum mereka menyertai sesebuah kelab, prestasinya berada di tahap terbaik namun selepas berhijrah grafnya mula menurun dan kredibilitinya menjadi persoalan dalam kalangan para penyokong.

Contohnya seperti Shahrel Fikri. Ketika bersama Perak, naluri pemusnah di hadapan gol sangat tajam namun selepas berpindah ke Selangor, beliau seperti bergelut untuk kembali ke prestasi terbaik ditambah dengan kecederaan dihadapi oleh dirinya.

Sama juga seperti Amirul Azhan yang cemerlang dengan Perak namun selepas menyertai Kedah, prestasinya sedikit merudum sehingga sukar untuk menebusi kesebelasan utama.

Belum berbicara berkenaan kecederaan yang dialami oleh seseorang pemain sehingga menyukarkan dirinya kembali cergas dan saat ini sudah pasti harapan untuk kekal bersama pasukannya makin tipis.

Kemungkinan besar kehilangan pasukan untuk disertai musim itu juga sangat tinggi kerana kecederaan yang dialami oleh pemain tersebut.

Ketika ini, sudah banyak kelab boleh menawarkan gaji tinggi untuk menyertai skuad mereka apatah lagi jika tawaran itu datang dari sebuah pasukan yang memenagi piala setiap tahun – pemain tidak berfikir panjang untuk bersetuju menjadi sebahagian keluarga kelab itu.

Persoalannya, adakah tawaran gaji tinggi ini merosakkan sistem bola sepak di Malaysia? Atau sikap bermain itu sendiri yang menyebabkan prestasi mereka merudum selepas berhijrah?

Bagi pemain, mereka perlu memikirkan banyak perkara seperti minit permainan yang sentiasa menjadi idaman setiap pemain kerana ia adalah kerjaya seorang pemain profesional.

Namun bila masuk soal gaji, dilema mula dirasai. Kerana setiap pemain ada tanggungjawab dalam hidup mereka. Maka ada pemain sanggup mengutamakan gaji yang tinggi.

Itu belum dikira kelab yang ada rekod kewangan kurang baik sehingga pemain terpaksa mengikat perut dan makan maggi demi kelangsungan hidup.

Ada pemain pernah menerima tawaran gaji tinggi namun memilih untuk kekal setia demi lencana di dada tetapi apa yang terjadi adalah derita.

Ketika itu pasti pemain akan kembali terkenang jika menerima tawaran di tempat lain, pasti keadaan akan lebih baik.

Oleh itu, sebagai seorang pemain, mereka harus bijak membuat percaturan kerana tersilap langkah, karier serta masa hadapan akan hancur begitu sahaja.

Leave a Reply