‘Coach’ Bala Pun Tak Tahu Ke Mana Hilangnya Francis Kone

Walaupun Sarawak United mencatat kekalahan besar semalam di tangan Kuala Lumpur City (KL City) dengan keputusan 0-5, pengendali pasukan, S. Balachandran tetap memuji barisan para pemain.

Mengulas mengenai perlawanan semalam, Balachandran menganggap Sarawak United sudah pun memberi aksi yang positif sebenarnya untuk menyaingi tuan rumah sepanjang permainan berlangsung.

Namun, beliau mengakui masih ada jurang tertentu yang membuatkan KL City berkelebihan berbanding pasukan kendaliannya untuk mencipta sesuatu.

Menurut Balachandran, KL City berkelebihan kerana mereka mempunyai beberapa pemain kebangsaan dan pernah beraksi untuk Harimau Malaya sebelum itu.

“Kalau ikutkan kami bermain dengan sangat baik, cuma kami gagal untuk menyempurnakan setia peluang terhidang depan gol berbanding pasukan lawan.

“Tambahan lawan juga mempunyai kelebihan seperti kualiti pemain kebangsaan dan ada yang pernah beraksi buat pasukan negara sebelum itu, dan inilah membezakan kami bersama mereka.

Pada masa sama, Balachandran juga mengakui beliau tidak mempunyai masalah mengenai corak permainan dipamerkan oleh para pemain ketika ini.

Jelas beliau, mereka berjaya mengimbangi dengan baik sepanjang perlawanan untuk tidak membiarkan pasukan tuan rumah menguasai permainan sepenuhnya.

“Jika ditanya mengenai corak permainan rasanya ia bukan satu masalah buat saya ketika ini bersama pasukan.

“Beberapa perlawanan lalu lagi saya lihat pasukan sudah boleh beraksi dengan sangat baik dari segi penguasaan bola, mencipta peluang, bahagian serangan dan berjaya mengimbangi KL City,” tambah Balachandran.

Selain itu, misteri ketiadaan penyerang berbisa Sarawak United iaitu Francis Kone juga jelas menjadi tanda tanya, apabila mereka hanya mempertaruhkan Uche Agba pada perlawanan semalam.

Balachandran nyata mengelak daripada menjawab mengenai ketiadaan penyerang tersebut sambil meminta agar pengamal media merujuk kepada pihak pengurusan.

“Francis Kone? Saya tak tahu. Jangan tanya saya mengenai beliau. Cuba rujuk dengan pihak pengurusan. Mereka mungkin tahu mengenai pemain tersebut,” ringkas sahaja jawapan daripada Balachandran.

Ketika ini pengendali berpengalaman tersebut hanya mahu memberi fokus sepenuhnya kepada pasukan, sambil mengakui para pemain sebenarnya sudah meningkat dari segi aksi sejak tiga bulan lalu.

“Saya masih perlukan masa sebenarnya selepas tiga bulan lalu mula bersama Sarawak United, namun diakui corak permainan pasukan lebih meningkat selepas itu.

“Cuma pemain masih lagi ada kelemahan dari segi stamina dan kepantasan. Menjelang aksi Piala Malaysia nanti rasanya saya sempat untuk mengubah mereka kearah lebih baik,” ujar beliau.

Leave a Reply