Kevin de Bruyne menghasilkan satu bantuan gol sebelum pemain antarabangsa Belgium itu sendiri menjaringkan satu lagi gol untuk membantu Manchester City mudah menewaskan West Ham dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada pagi tadi.
Ini adalah perlawanan pertama yang dilalui oleh City sejak keputusan UEFA menggantung kelab itu akibat kesalahan melanggar peraturan FFP.
Keputusan oleh UEFA menggantung kelab tersebut daripada pertandingan eropah selama dua musim memberikan bayangan masa depan tidak menentu buat City – walaupun dibenarkan untuk merayu kepada Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa (CAS).
Di Etihad ia amat jelas kedengaran laungan anti-UEFA oleh penyokong pada babak pertama, terutama seleas Rodri menyempurnakan hantaran hasil sepakan penjuru Kevin de Bruyne pada minit ke-30 perlawananan.
Penyokong Manchester City turut membawa banner ke stadium dengan tulisan ‘UEFA Cartel’ dan ‘UEFA mafia’ berserta nyanyian sebagai tanda sokongan kepada pengurus pasukan, Pep Guardiola dan pemilik kelab Sheikh Mansour.
Aksi di atas padang pula menunjukkan barisan pemain City langsung tidak hilang fokus. Namun permainan juara bertahan EPL itu sedikit terjejas oleh sentuhan penyudah tumpul terutamanya daripada Gabriel Jesus.
City mampu menang perlawanan ini dengan jaringan lebih besar sekiranya peluang-peluang tersebut disempurnakan.
West Ham pula gagal memberikan respon yang sewajarnya, dan kelab dari London itu hanya merekodkan enam sentuhan di kawasan lawan , dan tidak menghasilkan percubaan ke arah gawang City sehingga perlawanan berbaki 15 minit hasil percubaan Michail Antonio.
The Hammers kini kekal berada di zon penyingkiran, dan dibezakan oleh satu mata dari zon selamat.
West Ham kini sudah melalui enam perlawanan berturut-turut tanpa sebarang kemenangan, dan akan berhadapan dengan juara eropah, Liverpool pada Isnin hadapan di Anfield.
Kemenangan ini juga bermakna skuad kendalian Guardiola kini mempunyai kelebihan empat mata ke atas Leicester City di tangga kedua.
Namun jarak 22 mata berbanding Liverpool, dengan baki 12 perlawanan harus dilalui untuk baki saingan musim ini bermakna ianya hampir mustahil City mempertahankan kejuaraan mereka pada musim ini.
Di luar padang, City sudah pun menyatakan tekad untuk melawan. Masih mempunyai tiga pertandingan lain untuk dimenangi, tekad City turut harus sama seperti semangat yang mereka tampilkan di luar padang.