Mampukah Wajah Baharu Borussia Dortmund Sentuhan Edin Terzic Ini Menggugat Bayern Munich?

Borussia Dortmund Edin Terzic

Borussia Dortmund telah pun sah melantik Edin Terzic sebagai ketua jurulatih baharu dengan kontrak selama tiga tahun bagi menggantikan Marco Rose yang meninggalkan kelab hasil persetujuan bersama.

Terzic bukanlah nama asing bagi kelab Bundesliga berkenaan. Beliau sebelum ini pernah dilantik selaku ketua jurulatih interim untuk tempoh beberapa bulan – susulan pemecatan Lucien Favre – dan membantu Dortmund menjulang Piala Jerman pada perlawanan terakhirnya.

Jurulatih berusia 39 tahun tersebut kemudian ditukar ke jawatan yang tidak kurang pentingnya selaku pengarah teknikal selepas pihak pengurusan mengumumkan ketibaan Rose sebagai ketua jurulatih baharu pada awal pertengahan tahun lalu.

Tetapi kini Terzic dilihat sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab besar ini secara tetap dan diharapkan mampu membentuk Borussia Dortmund yang lebih segar terutamanya selepas pemergian penyerang sensasi Erling Haaland.

“Kini semua orang patut tahu betapa pentingnya BVB dalam hidup saya. Kami akan berikan yang terbaik setiap hari demi kejayaan kelab ini,” ujar Terzic dalam sidang media pengenalannya sebagai ketua jurulatih baharu.

Pengarah Sukan Dortmund, Sebastian Kehl menjelaskan pelantikan tersebut adalah kerana kepercayaan pihak kelab terhadap Terzic yang sudah ‘masak’ dengan budaya dan suasana pasukan.

“Kami telah mengadakan beberapa perbincangan intensif dengan Edin Terzic pada hujung minggu lalau dan yakin bahawa keputusan ini adalah tepat untuk kelangsungan BVB,” ujar Kehl.

Siapa Edin Terzic?

Mempunyai karier yang pendek sebagai pemain semi-pro bersama beberapa kelab kecil di Jerman, jurulatih berusia 38 tahun ini tentunya tidak pernah menyangka beliau dipilih sebagai pengurus baharu untuk salah satu kelab terbaik di Eropah.

Terzic merupakan lulusan Universiti Ruhr, Bochum dalam bidang pengajian sains sukan dan pernah menjadi salah seorang staf kejurulatihan di bawah kendalian Jurgen Klopp sebaik sahaja menamatkan kursus Lesen A UEFA pada 2010.

Beliau kemudiannya diberi kepercayaan untuk menjadi pembantu jurulatih untuk skuad BVB bawah 17 tahun (B-17), B-19 dan B-23.

Daripada pengalaman itu, beliau dapat mempelajari daripada Klopp cara-cara untuk mengenal pasti pemain-pemain berbakat yang berupaya untuk diserap ke skuad utama seperti Mario Gotze, Mats Hummels dan Robert Lewandowski.

https://twitter.com/eRadioUS/status/1355189348514336768?s=20&t=X379ldoVuIY1EaLjjqrnGA

Pada 2013, sebaik sahaja dilantik sebagai ketua jurulatih skuad B-16 Dortmund, beliau dengan berat hati memaklumkan kepada kelabnya bahawa dirinya telah mendapat tawaran yang dianggap terlalu sukar untuk ditolak.

Disebabkan mempunyai darah Croatia melalui ibunya, beliau telah dirisik oleh Slaven Bilic untuk menjadi pembantu jurulatih di kelab Turki, Besiktas ketika beliau baru berusia 31 tahun pada waktu itu.

Dua tahun kemudian, apabila Bilic dilantik sebagai pengurus West Ham United, mereka sekali lagi bergandingan sehingga berjaya membawa kelab tersebut menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga ke-7 pada musim 2015/16.

Terzic menganggap pengalaman di Turki dan England tersebut merupakan sesuatu yang luar biasa untuk seorang jurulatih muda sepertinya.

Bagai sirih pulang ke gagang

Pada 2018, Terzic telah lulus kursus Lesen UEFA Pro anjuran FA England yang melayakkannya untuk membimbing pasukan di liga-liga utama Eropah.

Anak kepada imigran dari Yugoslavia itu akhirnya kembali ke Dortmund  pada 2018 untuk menjadi sebahagian daripada staf kejurulatihan di bawah Favre.

Sebaik sahaja Favre dipecat ekoran kekalahan memalukan 5-1 kepada Stuttgart di tempat sendiri pada Disember 2020, Terzic telah dipilih untuk mengambil alih kepimpinan di Signal Iduna Park selaku ketua jurulatih interim sehingga penghujung musim.

Wajah baharu Dortmund

Ekoran keberangkatan Erling Haaland yang dilaporkan bakal melengkapkan perpindahan ke Manchester City, tugas Terzic kini adalah membentuk Dortmund yang lebih segar dan mengekalkan polisi melahirkan bintang masa depan.

Dortmund juga baru sahaja mengumumkan pembelian pemain tengah Turki, Salih Ozcan dari Cologne. Pemain berusia 24 tahun itu adalah pemain baharu keempat yang dibawa masuk selepas Niklas Sule, Nico Schlotterback dan Karim Adeyemi.

Sepanjang tempoh enam bulan selaku ketua jurulatih interim sebelum ini, Terzic pernah menggunakan beberapa sistem berbeza. Namun yang kerap digunakan adalah formasi 3-4-1-2 dan 4-2-3-1 yang dilihat bersesuaian dengan falsafah BVB.

Pengalaman Matt Hummels serta kemasukan Sule dan Schlotterback pastinya menjanjikan barisan pertahanan yang lebih ampuh yang boleh digunakan sama ada dengan sistem bek bertiga atau berempat.

Ozcan, Jude Bellingham dan Axel Witsel pula boleh berfungsi lebih kepada piston berbanding pivot dengan berperanan lebih banyak kepada serangan mengikut fleksibeliti taktikal yang diterapkan.

Giovanni Reyna, Marco Reus, Julian Brandt dan Thorgan Hazard akan kekal di membantu di belakang penyerang utama, sementara dua penyerang muda Donyel Malen dan Adeyemi bakal dipertaruhkan sebagai peledak utama pasukan.

Penutup

Walaupun jendela perpindahan masih panjang dan tidak mustahil ada lagi pemain baharu yang akan dibawa masuk, skuad sedia ada juga dilihat mampu memberikan saingan sengit kepada Bayern Munich pada musim hadapan.

Ia pastinya satu penghormatan buat Edin Terzic di mana selain daripada dikenali sebagai kelab yang hebat dalam mengetengahkan pemain muda, Dortmund kini turut diterajui oleh jurulatih muda.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN