Mampukah Steven Gerrard Membantu Rangers Sekat Penguasaan Celtic?

Kehadiran Steven Gerrard sebagai pengurus baharu Rangers telah membuatkan tumpuan peminat bola sepak kembali ke arah Scotland.

Sejak kejatuhan Rangers ke liga bawahan akibat masalah kewangan pada 2012, minat dunia bola sepak terhadap Scotland menerusi Scottish Premiership mula kurang.

Hal ini kerana, perlawanan ulung Old Firm Derby secara automatiknya hilang dari radar bola sepak Scotland untuk beberapa tahun.

Sejak kembali ke Scottish Premiership pada 2016, Rangers kerap bertemu Celtic tetapi jurang antara 2 kelab ini cukup jauh.

Dengan kehadiran Gerrard ke Ibrox, ia seolah memberikan sinar baharu buat Rangers.

Tetapi mampukah Gerrard membantu Rangers menamatkan dominasi Celtic serta mengenepikan cabaran Aberdeen serta Hibernian?

Harapan menggunung

Sejak naik semula ke Scottish Premiership, Rangers mengalami kerapuhan dari segala sudut.

Mereka tidak lagi dipandang sebagai pasukan utama malah pasukan kecil seperti St. Johnstone dan Kilmarnock juga mampu menewaskan mereka.

Pengurus silih berganti, pemain banyak dibawa masuk namun ianya tidak membuatkan hasil.

Kehadiran Gerrard memberikan nafas baharu kepada peminat Rangers yang sinar kebangkitan akan tiba.

Tetapi dikala mereka terlalu memuja kehadiran Gerrard terdapat satu persoalan, kenapa peminat Rangers terlalu mengagungkan pengurus tidak berpengalaman seperti beliau?

Untuk rekod, ini merupakan kerjaya pertama Gerrard menguruskan pasukan utama dalam bola sepak profesional.

Jawapan kepada persoalan tadi adalah kerana beliau adalah Steven Gerrard – seorang legenda kepada permainan bola sepak sewaktu beliau beraksi sebagai pemain.

Jadi kehadiran beliau pastinya menimbulkan keterujaan kepada peminat Rangers, melebihi keraguan terhadap beliau kerana kurang pengalaman.

Keterujaan itu bagaimana pun dibebani dengan harapan menggunung penyokong Rangers untuk melihat Gerrard membawa kelab itu ke tahap lebih tinggi.

Apa perlu dilakukan?

Banyak perkara yang perlu dilakukan oleh Gerrard dalam mengembalikan maruah Rangers yang tercalar ketika ini.

Perkara pertama yang perlu dilakukan beliau adalah mengurangkan jurang dengan Celtic.

Musim lalu, Rangers menamatkan saingan liga di tangga ke-3 dengan jurang 12 mata dibelakang Celtic.

Lebih memilukan, Rangers hanya mampu mengutip 1 mata sahaja daripada 4 pertemuan mereka dengan Celtic.

Pemain Rangers tunduk kecewa selepas kalah kepada Celtic dalam perlawanan separuh akhir Scottish Cup musim lalu.

Gerrard pasti mengenali dengan lebih dekat mengenai bekas pengurus beliau iaitu Brendan Rodgers.

Jadi, itu boleh dijadikan sandaran oleh Gerrard untuk memberikan kemenangan kepada Rangers sekiranya mereka bertemu Celtic.

Dikala untuk mendakap gelaran liga dalam masa terdekat adalah sukar, Gerrard perlu menumpukan usaha beliau untuk menghadiahkan trofi piala nasional kepada Rangers.

Betfred Cup (piala liga) dan Scottish Cup merupakan sasaran ideal Gerrard untuk menggembirakan pihak atasan Rangers dan peminat mereka buat masa ini.

Setelah jurang antara mereka dan Celtic sudah mula mengecil, baharulah Gerrard boleh memfokuskan untuk merebut gelaran liga pula.

Hubungan dengan Liverpool

Memandangkan Rangers bukanlah pasukan yang mempunyai bajet besar untuk membeli pemain dari liga utama di England misalnya, kehadiran Gerrard amat membantu.

Sebagai ikon Liverpool, Gerrard jelas masih mempunyai hubungan baik dengan kelabnya.

Malah sebelum ini beliau adalah pengurus kepada skuad B-18 kelab tersebut.

Dengan hubungan erat Gerrard-Liverpool ini, Rangers boleh memperoleh manfaat apabila beliau boleh mendapatkan pemain dari kelab tersebut.

Jon Flanagan menyertai Rangers secara percuma sementara Ryan Kent dan juga pemain muda berpotensi Ovie Ejaria hadir sebagai pemain pinjaman.

Gerrard juga dikatakan sebelum ini ingin mendapatkan Dominic Solanke sebagai pemain pinjaman.

Namun perpindahan itu tidak menjadi dengan Solanke terus dikekalkan dalam skuad Jurgen Klopp.

Situasi ini jelas memberikan kelebihan kepada Liverpool dan Rangers.

Liverpool dapat menghantar pemain muda mereka mendapatkan minit bermain sementara Rangers dapat meminjam pemain muda berkualiti dari kelab tersebut.

Misi 3 tahun

Gerrard mempunyai masa untuk membina semula Rangers tetapi tidaklah lama.

Beliau hanya ada masa 3 tahun sahaja untuk menghadiahkan Rangers dengan gelaran liga.

Tapi kenapa 3 tahun?

Hal ini kerana, penyokong Rangers tidak mahu Celtic menjuarai liga 10 kali berturut-turut.

Celtic memenangi gelaran ke-7 berturut-turut liga pada musim lalu.

Dalam sejarah, Celtic dan Rangers kedua-duanya terikat dari segi rekod kejuaraan liga secara berturut.

Ketika ini, kedua-dua kelab itu pernah menjuarai liga sebanyak 9 kali berturut-turut.

Kini Celtic telah menjuarai liga selama 7 tahun tanpa henti, jadi Rangers perlu berkerja keras untuk halang dari misi 10 in a row ini menjadi kenyataan.

Dan gerak kerja harus bermula sekarang!

Jadi, mampukah Gerrard?

Berbalik pada persoalan artikel ini, mampukah Gerrard menjadi watak yang menghalang dominasi Celtic?

Jawapannya adalah ya dan juga tidak.

Ya kerana beliau adalah seorang individu yang punya karisma. Karisma beliau di dalam padang cuba diterjemah pula ke tepi padang.

Dengan hubungan baik bersama Liverpool, tidak terkejut urusan perpindahan antara 2 kelab ini akan berterusan selagi Gerrard bergelar pengurus.

Manakala tidak pula merujuk kepada kebolehan beliau sebagai pengurus yang masih lagi samar.

Beliau tidak pernah menguruskan pasukan senior jadi pastinya kebolehan beliau dipersoal oleh pemerhati bola sepak.

Ujian terbesar adalah, mampukah beliau mengatasi bekas pengurusnya sendiri.

Itu perlu dilihat pada perlawanan Old Firm Derby nanti.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN