Saingan untuk merebut kejuaraan Liga Premier musim ini antara Johor Darul Ta’zim (JDT) II dan Kelantan semakin menarik dan sudah pasti tekanan lebih terarah kepada skuad kendalian Rezal Zambery Yahya berbanding pencabar mereka.
Jika lihat kedudukan liga ketika ini, perbezaan mata antara kedua-dua pasukan ini hanyalah tiga mata sahaja.
Namun perbezaan jaringan pula memberi kelebihan buat pasukan dari selatan tanah air yang sedang memimpin liga.
Kelantan masih berpeluang untuk mencipta kejutan namun ia nampak sukar kerana mereka perlu menang dengan jaringan besar sambil mengharapkan JDT II kalah dengan jaringan besar ketika bertemu Selangor 2.
Untuk mencatat kemenangan rasanya The Red Warriors tiada masalah kerana lawan mereka, Kelantan United sudah layak ke Piala Malaysia dan Liga Super.
Jadi mereka akan turun dalam perlawanan ini hanya untuk melengkapkan jadual perlawanan dan ada kemungkinan juga akan memberi peluang kepada pemain baharu yang kurang mendapat minit permainan sebelum ini.
Bagi JDT II, sudah pasti perlawanan malam ini, mereka hanya perlu seri saja untuk menidakkan segala usaha terakhir yang dilakukan oleh Kelantan.
Jika melihat prestasi semasa skuad kendalian Mariano Raul Echeverria, tiada masalah untuk mencatat kemenangan apatah lagi prestasi Selangor 2 tidak begitu konsisten ketika ini.
Perebutan kasut emas masih terbuka
Disebalik perebutan kejuaraan antara kedua-dua pasukan ini, pemain mereka juga dalam misi untuk mendapatkan kasut emas.
Ketika ini, penjaring terbanyak Liga Premier adalah Abu Kamara dari Kuching City dengan 11 gol dengan pasukannya telah melengkapkan kesemua perlawanan.
Jadi, pemain dari JDT II seperti Daryl Sham, Fernando Rodriguez dan penyerang utama Kelantan, Nurshahmil Abd Ghani yang terikat dengan lapan gol boleh cuba untuk memintas Kamara.
Perlawanan malam ini sudah pasti akan menjadi sangat menarik kerana selain penentuan siapa juara, pemenang kasut emas juga akan diketahui.
Adakah The Red Warriors mampu mencipta kejutan malam ini? Adakah kita akan melihat jaringan besar dalam perlawanan bertemu Kelantan United?
Atau JDT II akan melengkapkan tahun gemilang buat pasukan Harimau Selatan selepas pasukan utama telah mendapatkan Piala FA dan semakin hampir mendakap Liga Super?
Sama-sama kita nantikan.