2 Usahawan Indonesia Miliki Kelab Inggeris

Dua usahawan terulung Indonesia, Erik Thohir dan Anindya Bakrie telah membuat kejutan apabila mengambil alih sebuah pasukan dari liga Inggeris.

Erik dan Anindya telah menjadi pemegang saham majoriti untuk Oxford United selepas memperoleh 51% ekuiti kelab tersebut.

Ini bukanlah pertama kali Erik terlibat dalam bola sepak Eropah, sebelum ini beliau dikenali kerana menjadi pemilik bagi gergasi Serie A iaitu Inter Milan.

Namun beliau kemudiannya melepaskan penguasaannya terhadap kelan itu kepada Suning.com yang berasal dari China.

Pemilikan Erik dan Anindya ini turut menandakan kerjasama antara tiga negara Asia Tenggara di Oxford.

Hal ini kerana, Oxford juga sudah mempunyai Sumrith Thanakarnjanasuth dan Pairoj Piempongsant dari Thailand serta usahawan Vietnam, Horst Geicke yang sudah menjadi pelabur kelab itu dari awal.

Menurut Anindya, ini merupakan permulaan baharu untuk Oxford dalam misi untuk mendaki piramid bola sepak England.

Ketika ini, mereka berada dalam saingan EFL League One.

“Saya gembira apabila apa semua pihak mengalu-alukan perubahan termasuk daripada pemegang taruh sedia ada, kami mempunyai perbincangan yang baik dengan mereka.

“Ini adalah lembaran baharu buat kelab, dan terpulang kepada kita semua untuk cipta apa yang dimahukan dari sini,” ujar Anindya.

Anindya turut yakin yang semangat Indonesia akan membantu Oxford untuk terus maju sebagai kelab menerusi gerakan kerjasama.

“Kami sebagai orang Indonesia sentiasa percaya jika kita bekerjasama, hasilnya akan lebih baik.

”Saya dan Erik amat terharu menjadi sebahagian daripada Oxford United. Kami bukan berasal dari sini, apabila diberi peluang untuk membantu Oxford maka ianya bukan satu peluang yang kami akan lepaskan dengan mudah,” tambah Anindya.

Kehadiran Anindya dan Erik ke Oxford menambah lagi individu dari Asia Tenggara yang memiliki kelab di Britain.

Selain mereka, usahawan terulung Malaysia iaitu Vincent Tan turut memilik kelab di Britain dengan menguasai Cardiff City.

Leave a Reply