Pemangku jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira bakal terlepas perlawanan pertama Liga Super 2023 dan tugasnya bakal digalas oleh Chong Yee Fatt.
Manzoor merupakan jurulatih yang amat arif dengan corak permainan yang mahu ditampilkan oleh pasukannya waima pemainnya silih berganti.
Jika kita masih ingat, bagaimana beliau mencorakkan Penang untuk dua kali meraih promosi ke Liga Super – kali pertama dalam sejarah Liga Malaysia. Ia berpunca daripada masalah tunggakan gaji pada musim 2019.
Penang meraih promosi untuk ke Liga Super 2020, namun dek kerana masalah tunggakan gaji musim sebelumnya, mereka telah dipotong enam mata oleh FIFA menyebabkan tiket promosi yang diraih telah terlepas.
Kurang 24 jam sahaja mereka dapat meraikan kejayaan mara ke Liga Super yang kali terakhir beraksi pada musim 2017. Segalanya hancur musnah.
Penang FA Kempunan Ke Liga Super Selepas Dipotong 6 Mata – https://t.co/w2BW7aNNBC pic.twitter.com/y1ZpXvNh4Q
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) July 21, 2019
Tetapi bagi Manzoor, ia tidaklah hancur musnah. Beliau membina semula skuad yang baharu untuk akhirnya muncul juara Liga Premier 2020.
Sekali lagi pengendali berusia 46 tahun itu menghadiahkan tiket promosi buat penyokong Harimau Kumbang, malah ia lebih membanggakan.
Malah, hasil kepakarannya yang bertugas di belakang tabir pada musim 2021 menyaksikan Penang meraih kedudukan ke-3 Liga Super 2021.
Ini diakui sendiri oleh bekas pengendali, Tomas Trucha yang dilantik pada musim 2021 atas faktor Manzoor tidak memiliki kelayakan – Lesen Pro AFC untuk membawa pasukan di saingan tertinggi Liga Malaysia ketika itu.
Malam tadi, Manzoor meninggalkan pasukan untuk tiga minggu bagi melengkapkan modul untuk lesen Pro AFC. Difahamkan ketika ini beliau sedang transit di Istanbul dan kemudian akan bertolak ke Zagreb, Croatia.
Turut bersamanya bagi melengkapkan modul ini adalah rakannya, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang sedang membawa skuad Penang B-23.
Sepanjang ketiadaannya, pasukan akan dipimpin sepenuhnya oleh Chong Yee Fatt. Adakah beliau mampu menggalas tugasnya tanpa Manzoor?
Terdapat stigma di kalangan penyokong yang Yee Fatt tidak setanding Manzoor dalam menyerlahkan potensi pasukan, namun apa pilihan yang ada? Beliau memiliki lesen yang diperlukan untuk membimbing pasukan.
Mungkin ramai yang risau yang Harimau Kumbang akan bermasalah sepanjang ketiadaan Manzoor untuk permulaan musim 2023.
Menurut muat naik Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semua calon akan berada di sana selama tiga minggu – hingga 25 Februari.
Saingan Liga Super pula dijangka akan disingkap pada 24 Februari depan.
Oleh itu, Manzoor bakal terlepas aksi pertama liga selain mungkin beberapa lagi perlawanan, mengambil kira laporan yang perlu disediakan mereka.
Tetapi, beliau memberi jaminan, beliau sentiasa memantau situasi pasukan. “Saya akan berkomunikasi dengan semua jurulatih bagi memastikan para pemain mengikuti program latihan yang dirancang,” tegasnya baru-baru ini.
Malah, Yee Fatt bukanlah baru menyertai Penang, beliau berada bersama Penang sejak musim lalu. Jadi, corak yang diinginkan Manzoor sudah terpahat di mindanya. Pastinya tiada perubahan besar dalam permainan.
Begitupun, ia pasti cabaran yang besar dek kerana aksi permainan Penang yang sentiasa menyerlah di tangan Manzoor, malah ia sekali lagi terpamer ketika aksi kejohanan pramusim, Piala Harapan yang dijulang mereka.