Akhirnya keputusan berat terpaksa dibuat oleh pengendali skuad B-23 negara, Brad Maloney apabila perlu mengetepikan pemain yang beraksi di Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal untuk Piala AFF B-23 nanti.
Edisi ketiga Piala AFF B-23 itu bakal berlangsung di Kemboja bermula 14 Februari ini. Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Myanmar, Laos dan Indonesia dengan hanya satu tiket pasti mara ke separuh akhir.
Saingan peringkat kumpulan dipecahkan kepada tiga kumpulan dengan tiga juara kumpulan akan mara ke separuh akhir, sementara salah satu pasukan naib juara terbaik akan turut mara ke pusingan separuh akhir.
Bagaimana Anda Boleh Hidupkan ‘Vibe’ Tonton Bola Di Kedai Mamak Bersama sooka
Sebelum ini, Maloney menjelaskan kepada Harian Metro tentang kesukaran pihaknya untuk berhubung dengan Wan Kuzri dan masa buatnya serta pemain itu kian suntuk berikutan pendaftaran pemain berakhir pada Isnin.
Dan hari ini, pengendali berusia 50 tahun itu menjelaskan yang beliau terpaksa melepaskan pemain itu kali ini.
“Saya ada bercakap dengan Wan Kuzri pagi ini dan dia masih lagi menyelesaikan isunya [hal keluarga] dan kami terpaksa mengenepikannya buat kali ini, dan kita akan menilainya kemudian untuk kejohanan lain.
“Sudah tentu saya mahu dia bersama pasukan kerana dia seorang pemain yang berkualiti, tapi buat masa ini, nampaknya ada peluang buat pemain lain,” jelas Maloney tentang ketiadaan pemain itu.
Tambah Maloney lagi, Wan Kuzri sentiasa bersemangat untuk bersama skuad negara dan nampak sedikit kecewa apabila dimaklumkan namanya terpaksa digugurkan. “Tapi dia perlu menerimanya dan kami perlu memandang ke depan dan cari solusi terbaik,” jelas pengendali kelahiran Australia itu kepada Harian Metro.
Begitupun, hasil semakan di akaun Facebook bapanya, Wan Kamal, beliau menjelaskan isu lain mengenai kegagalan Wan Kuzri untuk melaporkan diri ke kem skuad B-23 negara ketika ditanya oleh Nabeell Fahmi.
“Wan Kuzri betul-betul nak bantu skuad Malaysia bawah 23 tahun. Namun dengan semester universiti yang baru sahaja bermula, tempoh masa kuarantin dan keadaan cuaca yang buruk di AS menyukarkan dia untuk melakukan perjalanan tepat pada masanya untuk pulang ke Malaysia.
“Dia tidak gembira langsung tetapi tiada apa yang boleh kami lakukan. Tunggu sahaja musim panas nanti, InsyaAllah,” jelas bapanya kepada pertanyaan pemilik akaun Facebook, Nabeell Fahmi itu.
Walaupun Wan Kuzri digugurkan kali ini, pintu buat pemain itu masih terbuka dengan beberapa pertandingan bakal menantinya seperti Sukan SEA 2022, Piala AFC B-23 di Uzbekistan dan Sukan Asia di China nanti.