Musim panas ini menyaksikan perpindahan yang cukup dramatik melibatkan pemain yang bernama Malcom.
Beliau begitu hampir untuk menjadi pemain AS Roma selepas kelab itu membida kepada kelab Perancis iaitu Bordeaux.
Namun begitu, di minit akhir Barcelona hadir untuk menewaskan AS Roma dalam perebutan mendapatkan Malcom.
Kini beliau telah pun menjadi pemain rasmi kelab La Liga itu, dan menurut Malcom impiannya kini sudah tercapai.
Dipetik dari laman Calcio Mercato, beraksi untuk Barcelona merupakan impian Malcom sejak beliau kecil lagi.
Jadi tidak hairan mengapa beliau berkata ‘ya’ dengan mudah sebaik sahaja Barcelona melakukan tawaran kepada Malcom.
“Bermain untuk Barcelona adalah impian yang saya miliki sejak kecil lagi.”
Dalam masa yang sama, Malcom juga turut mengangkat Lionel Messi sebagai legenda kepada pasukan itu.
Malcom juga berikrar mahu memberikan prestasi terbaik beliau dan ingin tinggalkan legasi seperti pemain Brazil terdahulu yang pernah bermain untuk Barcelona.
“Saya akan bermain dengan beberapa pemain handalan di dunia. Bagi saya Lionel Messi adalah legenda.”
“Ia akan menjadi satu pengalaman yang mengujakan, saya ingin tinggalkan legasi saya di sini seperti pemain Brazil lain lakukan sebelum saya terutamanya Ronaldinho dan juga Neymar.”
Kata Malcom lagi, perpindahan beliau ini diuruskan dengan baik oleh ejen beliau.
Ejen beliau telah menjadi watak utama kepada perpindahan ini dengan mengendalikan kesemua perkara yang diperlukan untuk merealisasikan perpindahan ini.
Malcom berpindah ke Barcelona dengan nilai perpindahan €41 juta.