Aksi Malaysia VS Indonesia dalam acara bola sepak Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur menyaksikan perlawanan Pertembungan Nusantara diantara 2 negara serumpun di peringkat separuh akhir.
Hadiah bagi pemenang untuk perlawanan ini adalah pertemuan menentang Thailand di perlawanan akhir yang akan dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Thailand menewaskan Myanmar 1-0 dalam aksi awal separuh akhir yang berlangsung di Stadium MP Selayang.
Perlawanan berlangusng dalam keadaan seimbang dengan kedua-dua pasukan menjadikan hantaran lintang sebagai sumber utama untuk menjaringkan gol.
Ia juga menyaksikan pemain negara S. Kumaarhan mengalami kecederaan awal dan terpaksa digantikan dengan Jafri Chew.
Pasukan negara mempunyai peluang paling hampir menerusi sepakan penjuru Safawi Rasid yang melecong terus ke pintu gol Indonesia dan ditepis oleh Satria Tama.
Kelemahan pasukan negara ketara apabila pasukan Indonesia bermain permainan hantaran terus atau through ball apabila hantaran tersebut beberapa kali memerangkap pasukan negara. Mujur Haziq Nadzli cepat untuk menangkap bola tersebut.
Separuh masa kedua dimulakan dengan Indonesia memulakan langkah untuk terus mencari gol pendahuluan.
Rembatan terus dari Safawi Rasid menerusi sepakan percuma hampir saja memberikan gol untuk Malaysia namun ia terus ke dakapan penjaga gol.
Indonesia hampir saja menjaringkan gol menerusi ketua pasukan iaitu Evan Dimas, namun Syazwan Andik berjaya menghalang bola itu dari menjadi bola yang terbaik untuk Evan melakukan rembatan.
Jafri Chew hampir menjaringkan gol dari sudut dekat dalam situasi sepakan percuma namun bola itu hanya lalu dihadapan pintu gol Malaysia sahaja!
Jafri sekali lagi menzahirkan bahaya menerusi tandukan apabila menerima bola hantara Nor Azam Azih dari situasi sepakan percuma. Namun tandukan itu sipi dari pintu gol.
Syameer Kutty Abba hampir menjaringkan gol selepas beliau menerima bola hantaran dari N. Thanabalan namun rembatan itu terkena pertahanan lawan.
Akhirnya Malaysia menjaringkan gol! Thanabalan menjaringkan gol menerusi tandukan selepas hantaran sepakan penjuru Azam pada minit ke-87 untuk meletakkan Malaysia di hadapan!
Tandukan pemain Indonesia, Ricky Fajrin melambung tinggi ketika perlawanan memasuki masa kecederaan.
Secara keseluruhannya, kedua-dua pasukan mempunyai peluang namun Malaysia sahaja yang mengambil peluang itu untuk dijadikan gol. Malaysia layak ke perlawanan penentuan pingat emas menentang Thailand!
Masa penuh, Malaysia 1-0 Indonesia.
Kesebelasan utama
Malaysia: Haziq Nadzli (penjaga gol), Matthew Davies, Adib Zainudin (ketua pasukan), Adam Nor Azlin, Nor Azam Azih, Syazwan Andik, Irfan Zakaria, Syamer Kutty Abba, S. Kumaarhan (Jafri Chew), N. Thanabalan (Syahmi Safari), Safawi Rasid (Syafiq Ahmad).
Indonesia: Satria Tama (penjaga gol), Putu Gede, Andy Seyyo, Evan Dimas (ketua pasukan), Febri Haryadi, Ricky Fajrin, Hanif Abdurrauf (Gavin Kwan), Yabes Roni, Muhammad Rezaldi, Septian David (Saddil Ramdani), Ezra Harm (Osvaldo Ardiles)