Malaysia dilaporkan bakal mengadakan aksi persahabatan bersama salah satu gergasi bola sepak Asia iaitu Iraq pada awal tahun hadapan sebelum menghadapi saingan Piala Asia 2023.
Kenyataan itu dikeluarkan sendiri menerusi Iraq Football Podcast di Twitter yang menyatakan Malaysia telah menjemput Iraq untuk perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur pada 3 Januari tahun hadapan.
As per @iraqfpg, the Malaysian FA sends an invite to the #LionsOfMesopotamia to set-up a friendly match in Kuala Lumpur on the 3rd January 2024. 🇮🇶🇲🇾
Iraq begin their #AsianCup2023 campaign on the 15th January against Indonesia. pic.twitter.com/RIa2z4VQHM
— Iraq Football Podcast (@IraqFootballPod) June 7, 2023
Untuk rekod, Iraq juga bakal menyertai saingan Piala Asia 2023 dan berada dalam Kumpulan D bersama Jepun, Vietnam, serta Indonesia.
Memandangkan Iraq bakal menentang Indonesia pada peringkat kumpulan nanti, ianya merupakan peluang terbaik untuk mereka menguji Malaysia bagi mendapat bayangan corak permainan pasukan lawan mereka.
Sebelum itu, skuad kebangsaan dilaporkan kini sedang rancak membuat persiapan dengan lebih rapi sebelum saingan Piala Asia 2023 bermula pada awal tahun hadapan dengan merancang beberapa aksi persahabatan.
Setelah melayakkan diri secara merit untuk saingan kali ini, pastinya tumpuan penuh diberikan oleh para penyokong kebangsaan yang mengharapkan Malaysia mampu tampil dengan baik di peringkat kumpulan.
Apa tidaknya, pelantikan Kim Pan-gon selaku jurulatih kebangsaan dilihat berjaya memberi impak besar dalam corak permainan Malaysia termasuk beberapa pemilihan pemain yang berkualiti.
Malaysia yang sebelum ini banyak mencatat keputusan hambar di pentas antarabangsa dilihat semakin baik merekodkan kemenangan mengatasi negara lain sehingga ranking semasa juga bertambah positif.
Ketika ini, Malaysia secara rasminya telah diundi untuk berada di Kumpulan E bersama jaguh Asia iaitu Korea Selatan, Bahrain serta Jordan sebelum melangkah ke pusingan seterusnya.
Sebelum beraksi di sana, beberapa aksi persahabatan telah diatur dengan terbaharu Malaysia akan menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea di Terengganu untuk menguji kekuatan semasa dimiliki.
Beberapa nama pemain baharu juga turut dipanggil kali ini dengan salah satunya merupakan penyerang Negeri Sembilan, Shahrel Fikri yang kini berada dalam prestasi terbaik.
Menerusi kelincahan, kekuatan fizikal, dan ketajaman Shahrel, pemain ini menjadi antara pemain tempatan yang sangat menyerlah dalam saingan domestik untuk mendapat perhatian Kim.
Apapun, berdasarkan senarai pemain yang dipanggil kali ini dijangka Malaysia tidak menghadapi begitu banyak kesukaran untuk merekodkan kemenangan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) nanti.