Malaysia bertemu Vietnam dalam final pertama Piala AFF 2018. Ianya adalah perhitungan 90 minit pertama bagi kedua-dua pasukan – dalam usaha mereka mahu menjulang kejuaraan ke-2 sepanjang penganjuran kejohanan sejak 1996.
“Sekali jalan terkena, dua kali jalan pasti sudah tahu.”
Malaysia pastinya sudah arif mengenai kelebihan dan kekurangan Vietnam kerana ini adalah pertemuan kedua antara kedua-dua pasukan. Malaysia bertemu Vietnam dalam peringkat kumpulan sebelum ini dengan keputusan 0-2 di My Dinh memihak Naga Emas.
Sepanjang 2018, Malaysia belum pernah tewas di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dan kelebihan ini perlu digunakan oleh skuad kendalian Tan Cheng Hoe dalam memastikan bekalan selesa akan dibawa ke My Dinh pada perlawanan akhir kedua, Sabtu ini.
Dibantu oleh sokongan padu para penyokong Harimau Malaya, para pemain dijangka sekali lagi mampu untuk mendapatkan keputusan positif. 90 minit yang pasti menarik dan menjanjikan pertembungan yang epik antara kedua-dua pasukan.
Kedua-dua pasukan sedang memburu gelaran kedua kejohanan Piala AFF Suzuki sepanjang 12 edisi penganjurannya. Vietnam memenangi kejohanan ini pada edisi 2008, sementara Malaysia telah berjaya meraih kejuaraan ini pada edisi 2010.
Rekod pertembungan Malaysia bertemu Vietnam
11 kali rekod Malaysia bertemu Vietnam. Kedua-dua pasukan saling beradu kekuatan sepanjang 10 tahun terkini dengan kelebihan memihak kepada Naga Emas dengan 6 kemenangan direkodkan. Malaysia berjaya menang ke atas Vietnam sebanyak 3 kali – kali terakhir pada edisi 2014.
Pada edisi tersebut, Malaysia bangkit di Hanoi selepas tumbang di Kuala Lumpur dengan kemenangan bergaya 4-2. Norshahrul Idlan Talaha, Safiq Rahim, Shukor Adan dan jaringan sendiri Dinh Tien Thanh membantu Harimau Malaya mengaum gah di bumi lawan.
Malaysia melangkah ke final untuk bertemu Thailand namun hajat untuk menjulang trofi buat kali kedua disekat oleh Gajah Perang.
Rekod pertemuan di Piala AFF
Sejak edisi pertama Piala AFF pada 1996, kedua-dua pasukan telah bertarung sebanyak 11 kali. Dan sekali lagi Vietnam cemerlang dengan rekod 6 kemenangan ke atas Malaysia. Malaysia pula hanya berjaya menang dalam tiga pertembungan.
Boleh dikatakan kedua-dua pasukan hanya merekodkan perbezaan jaringan yang kecil dalam setiap pertembungan dengan satu-satunya kemenangan selesa direkodkan oleh Naga Emas adalah dua gol tanpa balas pada awal kejohanan tempoh hari.
Malaysia juga pernah merekodkan kemenangan selesa dua gol tanpa balas ke atas lawan iaitu pada edisi 2010 di separuh akhir pertama di SNBJ hasil dua jaringan penyerang prolifik negara, Safee Sali. Malaysia kemudian menjuarai edisi tersebut.
Langkah ke final
Malaysia (M-M-K-M-S-S)
- 8 November: Menang vs Kemboja 1-0 (Kumpulan A)
- 12 November: Menang vs Laos 3-1 (Kumpulan A)
- 16 November: Kalah vs Vietnam 0-2 (Kumpulan A)
- 24 November: Menang vs Myanmar 3-0 (Kumpulan A)
- 1 Disember: Seri vs Thailand 0-0 (Separuh Akhir Piala AFF)
- 5 Disember: Seri vs Thailand 2-2 (Separuh Akhir Piala AFF)
Vietnam (M-M-S-M-M-M)
- 8 November: Menang vs Laos 3-0 (Kumpulan A)
- 16 November: Menang vs Malaysia 2-0 (Kumpulan A)
- 20 November: Seri vs Myanmar 0-0 (Kumpulan A)
- 24 November: Menang vs Kemboja 3-0 (Kumpulan A)
- 2 Disember: Menang vs Filipina 2-1 (Separuh Akhir Piala AFF)
- 6 Disember: Menang vs Filipina 2-1 (Separuh Akhir Piala AFF)
Apa kata jurulatih
Tan Cheng Hoe: “Kita tahu pasukan Vietnam satu pasukan cukup kuat dan kita kena ambik peluang sebaik-baiknya apabila beraksi di gelanggang sendiri dengan 80,000 penyokong tempatan akan berada di stadium nanti.”
“Dengan sokongan padu itu, pemain akan dapat semangat, motivasi dan aura berbeza. Dalam bola sepak sudah semestinya bila kita dapat gol baru boleh menang, jadi pemain perlu gunakan peluang di tempat sendiri untuk mencipta jaringan.”
Park Hang-seo: “Ia bukan mudah untuk beraksi di depan penyokong yang begitu ramai nanti. Malah, ini juga adalah pengalaman pertama buat kebanyakan pemain saya yang masih muda apabila berdepan dengan puluhan ribu penyokong.”
“Malaysia menunjukkan peningkatan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan. Mereka akan mendapat sokongan padu penyokong sendiri dan ia akan beri kelebihan kepada tuan rumah. Saya harap pemain akan mampu menyerap tekanan dan cuba bermain mengikut taktikal yang sudah dirancang.”
Malaysia dijangka akan kuasai perlawanan
Melihatkan pertemuan ketika peringkat kumpulan di Stadium My Dinh, Malaysia telah menguasai hampir 68% perlawanan dengan memiliki 84% ketepatan hantaran berbanding pasukan tuan rumah, Vietnam yang hanya merekodkan 62% ketepatan hantaran.
Dalam enam perlawanan, Vietnam hanya menguasai perlawanan dalam dua aksi iaitu ketika bertemu Laos dan juga Kemboja. Di separuh akhir menentang Filipina, mereka juga gagal menguasai kedua-dua aksi namun cemerlang mencatatkan kemenangan.
Sementara untuk Harimau Malaya, hanya aksi di Bangkok sahaja yang gagal dikuasai oleh mereka namun ketepatan hantaran secara puratanya berada pada tahap baik – iaitu pada tahap 80%.
Tan Cheng Hoe dan para pemain perlu berhati-hati dan bersedia dengan serangan balas pantas pasukan lawan. Itu adakah kekuatan utama Naga Emas sepanjang kejohanan edisi kali ini walaupun mereka tidak memiliki penguasaan perlawanan.
Teringat kata-kata ketua jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee kepada penulis ketika mereka bersaing di Kejohanan AFC B-23, “Penguasaan perlawanan tak menjamin kemenangan.”
Jadikan pertemuan dengan Thailand sebagai panduan
Dalam separuh akhir pertama, Malaysia berjaya mendiamkan juara 5 kali, Thailand di SNBJ apabila menekan lawan sepanjang 90 minit namun ketumpulan penyudah menggagalkan misi skuad kendalian Tan Cheng Hoe untuk membawa bekalan selesa ke Bangkok.
Di Stadium Rajamangala, Harimau Malaya mempamerkan karekter juara apabila dua kali bangkit daripada ketinggalan untuk akhirnya mengikat Gajah Perang dan seterusnya layak ke pentas final buat kali ke-4 dalam sejarah penyertaan kejohanan Piala AFF.
Kedua-dua ramuan itu perlu digabungkan dalam babak pertama di SNBJ malam ini. Naga Emas seharusnya ditumbangkan di kandang sendiri supaya pertempuran babak kedua di Hanoi pada 15 Disember depan lebih mudah dan tanpa sebarang tekanan.
Sebelum wisel
Dalam perlawanan penting, Malaysia tidak pernah gagal untuk mengecewakan Vietnam. Contohnya kemenangan yang diraih pada edisi 2010 dan 2014 yang menurut pandangan media di sana sebagai kekalahan yang sangat perit untuk mereka telan.
Ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo ketika aksi kumpulan sebelum ini telah menyatakan yang aksi ketika itu umpama pentas final. Kini ianya menjadi kenyataan, mereka bertembung sekali lagi dan membuat perhitungan di pentas akhir edisi kali ini.
Norshahrul Idlan Talaha juga berjaya mendapat ‘rematch’ yang diinginkannya. Selepas kekalahan 0-2 di My Dinh, Norshahrul Idlan berkata dia tidak berpuas hati dan mahu perlawanan ulangan menentang Vietnam di pentas akhir.
Malaysia akan turun dengan penuh keyakinan bersama bantuan sokongan daripada pemain ke-12 pada malam ini. Walaupun menghadapi beberapa masalah kecederaan dan kecergasan, namun pastinya ia dapat diatasi oleh barisan pemain yang ada.