Skuad Malaysia bawah 23 (B-23) bakal menghadapi aksi Piala Asia B-23 yang akan bermula tidak beberapa bulan sahaja lagi di Qatar dengan membawa misi tertentu untuk mengharumkan nama negara.
Tampil dengan harapan menggunung untuk cuba mendapatkan slot ke saingan Olimpik di Paris, pasukan kebangsaan B-23 diletakkan sasaran untuk cuba mara ke separuh akhir pada saingan itu.
Malah, Pengurus skuad B-23 iaitu Datuk Seri Shahril Mokhtar juga tampil dengan berkeyakinan pasukan itu mampu untuk mencapai sasaran diletakkan itu.
Selain itu, beliau juga mahu para pemain untuk cuba melihat sasaran diletakkan itu sebagai suatu cabaran untuk menaikkan motivasi mereka pada saingan tersebut nanti.
Walaupun begitu, Shahril tetap tampil dengan realistik apabila beliau dan pasukan mahu memberi tumpuan dalam setiap perlawanan dihadapi supaya pemain dapat menjalankan tugas dengan baik untuk mencipta kemenangan.
Tambah Shahril, untuk memantapkan lagi persiapan skuad B-23 sebelum mengharungi saingan itu, mereka juga akan menyertai kejohanan empat penjuru di Indonesia terlebih dahulu.
“Kita tahu sasaran FAM ke separuh akhir kerana ia menawarkan slot ke Olimpik Paris 2024 dan saya yakin skuad muda ini boleh melakukannya.
“Kita akan sertai kejohanan empat penjuru bermula dari 18 hingga 26 Mac ini dan pertandingan ini amat sesuai buat pasukan negara sebelum sepak mula Piala Asia B-23 nanti.
“Saya difahamkan kemungkinan besar, pasukan seperti Arab Saudi dan Tajikistan akan turut menyertai pertandingan itu, namun keputusan akhir akan diputuskan oleh tuan rumah (Indonesia).
“Jika pasukan terbabit turut serta, saya melihat ini pendedahan awal yang sangat berguna sebelum pertandingan sebenar bermula,” katanya menerusi laporan Harian Metro.
Pada masa sama, Shahril juga mendedahkan skuad Malaysia B-23 juga berkemungkinan akan ke Dubai, Doha atau Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menjalani kem latihan pusat serta beberapa aksi persahabatan di sana.
Terdahulu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) iaitu Datuk Haji Hamidin Mohd Amin sendiri tampil dengan harapan untuk melihat pasukan tersebut mampu mara ke separuh akhir saingan Piala Asia B-23.
Berdasarkan prestasi semasa pasukan B-23 negara, adakah ianya dianggap realistik untuk mereka melepasi pusingan separuh akhir Piala Asia B-23 nanti?