Malaysia bawah 23 (B-23) akhirnya bakal membuktikan kemampuan sebenar mereka untuk aksi sulung dalam saingan Piala Asia B-23 di Qatar, dengan Uzbekistan akan menjadi lawan pertama mereka bagi peringkat Kumpulan D.
Hadir dengan status selaku juara bagi saingan Piala Asia edisi 2018, sudah tentu ia menjadi sesuatu cukup mencabar khususnya buat Juan Torres Garrido untuk membuat percaturan ampuh berdepan Uzbekistan.
Apatah lagi Harimau Malaya B-23 juga merupakan pasukan bukan pilihan untuk saingan kali ini dan sudah tentu tumpuan bakal diberikan jika Garrido mampu mencipta kejutan atau tidak bagi menghadapi lawan.
Walaupun begitu, pengendali dari Sepanyol tersebut mengakui kem kebangsaan kini sudah pun bersedia sepenuhnya untuk menghadapi ujian getir itu di Stadium Antarabangsa Khalifa, Qatar.
Malah, beliau sendiri menyedari para pemain kendaliannya itu sudah tentu akan menghadapi satu aksi cukup sengit ditampilkan oleh pasukan lawan untuk menafikan mata pertama buat Harimau Malaya.
Tetapi, pengendali berpengalaman tersebut juga optimis satu mata sekurangnya mampu diraih selepas melihat kepada persiapan dilakukan mereka sebelum menghadapi aksi Piala Asia B-23.
“Selama menjalani latihan sebelum bermulanya kempen Piala Asia, sudah pastinya kita memperbaiki setiap kelemahan apabila mengharungi aksi persahabatan.
“Kita sudah bersedia berhadapan Uzbekistan. Malah, pemain juga tidak gentar terhadap status Uzbekistan apabila mereka akan berusaha memastikan perlawanan pertama memihak kepada Malaysia.
“Seperti dijangka, perlawanan esok adalah sukar namun kita akan berikan terbaik demi negara,” kata Garrido menerusi laporan dikeluarkan oleh Harian Metro.
Selepas menghadapi aksi tersebut, Malaysia B-23 bakal berdepan dua lagi perlawanan di peringkat Kumpulan D menentang Vietnam serta Kuwait sebelum cuba melayakkan diri ke pusingan seterusnya.
Malaysia juga berpeluang untuk mara ke saingan Olimpik jika mereka mampu konsisten sehingga muncul selaku tiga pasukan terbaik sepanjang kejohanan itu berlangsung.
Walaupun begitu, skuad kendalian Garrido juga mampu untuk ke pentas Olimpik jika mereka muncul di kedudukan keempat terbaik, dengan syarat Malaysia perlu meraih kemenangan pada aksi play-off bertemu wakil dari benua Afrika, Guinea.
Apapun, kami di Semuanya BOLA mendoakan supaya skuad kebangsaan mampu tampil cemerlang pada aksi sulung ini untuk membuktikan wakil dari Asia Tenggara juga mampu menggegarkan negara pilihan lain.