Malaysia bawah 23 (B-23) ketika ini boleh dianggap masih memiliki pelbagai kelemahan perlu diperbaiki sebelum mereka mengharungi saingan Piala Asia B-23 yang akan berlangsung tidak lama lagi di Qatar.
Setakat ini, Malaysia telah pun mengharungi empat aksi persahabatan dengan satu kemenangan, sekali seri, dan dua kekalahan direkodkan mereka untuk memberi gambaran masih banyak perlu diperbaiki.
Skuad kendalian Juan Torres Garrido sebelum itu merekodkan kekalahan mereka kali kedua dalam aksi persahabatan dengan kali ini Harimau Malaya B-23 menjadi mangsa kepada Qatar menerusi keputusan 0-1.
Walaupun tewas tipis, ianya dianggap cukup merugikan kerana mereka sering memberi peluang buat lawan mendapatkan gol kerana kecuaian dicipta sendiri.
Ianya diakui sendiri oleh pertahanan muda kebangsaan, Ubaidullah Shamsul Fazili yang melihat situasi tersebut selepas menghadapi beberapa siri aksi persahabatan.
Apatah lagi statistik juga menunjukkan Malaysia B-23 turut ‘menghadiahkan’ penalti kepada pasukan lawan sebanyak tiga kali sejak dua aksi lalu.
Untuk itu, Ubaidullah menuntut supaya rakan sepasukannya tampil dengan berwaspada serta tidak membuat sebarang kecuaian pada saingan itu sehingga memberi peluang penalti kepada pasukan lawan.
“Kita harus kurangkan kecuaian kerana dalam dua perlawanan persahabatan terakhir, kita dibolosi dengan tiga sepakan penalti.
“Jadi bagi saya, ini adalah sesuatu yang kita tidak boleh selalu lakukan untuk pertandingan yang lebih besar selepas ini,” kata Ubaidullah yang juga merupakan pertahanan Terengganu menerusi perkongsian dibuat oleh Berita Harian.
Terdahulu Harimau Malaya B-23 telah pun beraksi sebanyak empat kali dalam perlawanan persahabatan tertutup dengan menentang India dua kali, China, serta Qatar.
Untuk aksi Piala Asia B-23 nanti, mereka telah diletakkan dalam Kumpulan D bersama-sama Uzbekistan, Kuwait serta satu lagi wakil Asia Tenggara, Vietnam.
Pada masa sama, Ubaidullah turut mengakui beliau masih belum berpuas hati secara keseluruhan akan kualiti peribadinya dan ingin terus bekerja lebih keras sebelum tirai kejohanan bermula.
“Saya rasa banyak lagi yang kita perlu belajar dan juga penambahbaikan yang perlu kita lakukan untuk menghadapi perlawanan pertama nanti,” kata beliau akhir sekali.