Selepas tampil dengan sangat cemerlang di Qatar menerusi siri-siri perlawanan persahabatan di sana, kini skuad kebangsaan bawah 17 (B-17) memberi fokus penuh dalam persiapan terakhir sebelum berlepas ke Bangkok.
Malaysia B-17 menjadi antara pasukan yang mencuri tumpuan ketika ini sebelum menghadapi saingan Piala Asia B-17, kerana prestasi ditampilkan mereka sangat konsisten sejak peringkat kelayakan lagi.
‘Ledak 21 Gol’- Prestasi Semasa Skuad B-17 Negara Dianggap Membanggakanhttps://t.co/IPaJSqTsFx
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) April 23, 2023
Menyedari pasukan lawan yang akan bertemu mereka nanti di Bangkok bukan calang-calang, skuad kendalian Osmera Omaro kini fokus dalam persiapan seperti menganalisa kekuatan serta kelemahan negara bakal mereka berdepan pada Jun 2023.
Berada dalam Kumpulan A, Malaysia bakal berdepan pasukan tuan rumah iaitu Thailand, Yaman, serta Laos yang tampil dengan serba baik di segenap posisi.
Menurut pengurus skuad kebangsaan iaitu Christopher Raj, segala kejayaan dilakar ketika berada di Qatar perlu dilupakan segera oleh para pemain B-17 negara, untuk memberi fokus sepenuhnya dalam persiapan terakhir sebelum mereka berlepas ke Bangkok.
Jelas beliau, menerusi momentum semasa yang sangat positif buat skuad negara, pastinya negara-negara lain juga sibuk menganalisa kekuatan semasa Malaysia sebelum perlawanan rasmi bermula.
“Saya bersama barisan pemain ini sudah dua tahun setengah dan saya kerap ulang alik Kuala Lumpur ke Gambang setiap minggu, sebab itu saya yakin mereka akan melawan hingga penghujung.
“Itu yang mereka tunjukkan semasa di Qatar. Semangat juang mereka sangat hebat. Walaupun bermain dengan pasukan yang fizikal jauh lebih besar, tetapi tetap mencabar setiap bola dan bekerja keras dalam setiap minit.
“Maknanya, mereka akan bermain mati-matian 90 minit untuk mendapatkan kemenangan. Saya tak ragu kemampuan mereka dari segi daya saing, kekuatan dan semangat mereka.
“Tetapi dengan rendah diri, kami juga tahu bahawa 16 pasukan yang datang ke Thailand nanti adalah yang terbaik di Asia. Jadi mereka juga akan berjuang habis-habisan,” katanya menerusi Harian Metro.
Ketika ini, dilaporkan Malaysia bakal berlepas ke Jakarta untuk menghadapi tiga aksi persahabatan di sana bermula hujung Mei ini sehingga awal Jun.
Uzbekistan & Arab Saudi Jadi Pilihan Malaysia B-17 Untuk Aksi Persahabatanhttps://t.co/l5FmPdEPVd
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) April 25, 2023
Selepas itu, mereka bakal melayan kunjungan Uzbekistan serta Arab Saudi, sebelum berlepas ke Bangkok bagi membawa cabaran merebut kejuaraan Piala Asia B-17.
Perlawanan pertama Malaysia untuk Piala Asia bagi saingan Kumpulan A bakal berlangsung pada 15 Jun untuk bertemu Yaman terlebih dahulu sebelum berdepan laos serta Thailand.