Malaysia kelihatan hampir pasti untuk menjulang piala AFF Suzuki 2014 dengan permainan berbaki 10 minit, tetapi dikecewakan oleh kesilapan mereka sendiri.
Malaysia tidaklah bermain begitu dominan tetapi mendahului 3-0; sekaligus membuktikan magik dan keajaiban sorakan penyokong di Stadium Bukit Jalil. Pemain Thailand kelihatan tidak bermain di prestasi sebenar. Mungkin terganggu dengan sorakan penyokong Malaysia yang diketuai oleh Ultras Malaya.
Dollah menggantikan Fadhli Shas, Kiatisuk menggantikan Mongkol Thosakrai
Dianggap pemain yang paling banyak melakukan kesilapan di Bangkok oleh peminat, Dollah meletakkan kepercayaan kepada Afif Amiruddin untuk menggantikan Fadhli Shas. Tugas Afif penting kerana penyerang Thailand Adisak Kraisorn gemar bermain dan bergandingan dengan Prakit Deeprom, yang menggantikan Mongkol Thosakrai.
Prakit Deeprom adalah selalu bermain di tengah untuk kelabnya dan semasa beliau dimasukkan oleh Kiatisuk Senamuang di Bangkok, Deeprom bermain di midfield tengah dengan Adisak Kraisorn dipindahkan ke sayap kanan dan Chanatip Songkrasin bermain sebagai penyerang.
Tetapi pada perlawanan semalam, Deeprom banyak bermain di sayap kanan. Berdasarkan heat map Deeprom pada separuh masa pertama, tugas Deeprom adalah menyekat kreativiti sayap kiri Malaysia dan melindungi bek kanan mereka Narubodin Weerawatnodom.
Selain itu pemain kegilaan wanita Malaysia Charyl Chappuis lebih terhad pergerakkannya berbanding ketika di Bangkok. Pada separuh masa pertama, beliau kurang terlibat dalam gerakan di kawasan Malaysia. Thailand kelihatan bermain dalam formasi 4-2-3-1 berbanding 4-3-3 ketika di Bangkok.
Alex digantikan musuh baru negara, Safee Sali
Kecederaan Alex bukan sahaja memaksa pemain yang paling tidak disukai peminat Malaysia, Safee Sali dimasukkan malah Malaysia terpakasa bermain 10 orang selama 5 minit oleh pengadil dari Iran.
Sebaik Safee dimasukkan, Indra Putra Mahyuddin dipindahkan ke sayap kiri dan Amri Yahyah ke sayap kanan. Kemasukan Safee bermakna Mat Yo bermain lebih bermain sebagai pembantu Safee.
Malaysia menyamakan kedudukan agregat dalam masa 45 minit
Separuh masa pertama agak seimbang diantara kedua-dua pasukan. Berbanding ketika di Bangkok, Malaysia lebih mengurangkan hantaran panjang (direct/long passes) yang nyata mudah dipatahkan oleh pertahanan Thailand.
Permainan Malaysia banyak tertumpu kepada serangan di sayap dengan dua gol pertama Malaysia terhasil daripada gerakan di sayap kanan.
Walaupun keputusan penalti itu boleh diperdebatkan, kesilapan pemain pertahanan tengah Thailand tadi tidak boleh dipertikaikan.
Jika itu tidak cukup, perhatikan pula gol kedua Malaysia.
Pertukaran taktikal Thailand pada separuh masa kedua
Pada separuh masa kedua, Thailand membuat perubahan dengan tampil lebih menyerang. Mereka berubah menjadi pasukan yang sama ketika di Bangkok dengan formasi 4-3-3. Selepas menghabiskan separuh masa pertama bermain dengan Sarach Yooyen di tengah dalam formasi 4-2-3-1, Charyl Chappuis diarahkan bermain di posisi kegemarannya – di belakang penyerang dan berpindah ke sayap (drift wide) apabila Thailand menyerang.
Apabila Thailand menyerang, Chappuis akan berpindah ke bahagian sayap (kawasan dalam kotak di gambar) dan bergabung dengan pemain sayap Thailand untuk membentuk situasi 2v1 di kawasan Kunanlan dan Zubir.
Gol ketiga Malaysia. What a beauty!
Pelan Thailand kelihatan musnah dengan gol ketiga Malaysia.
Kelekaan barisan pertahanan Malaysia mengulangi episod gol Khairul Amri
Ketika menentang Singapura, Khairul Amri menghukum kelekaan pertahanan Malaysia (yang ketika itu mendahului Singapura 1-0) dengan menjaringkan gol hasil daripada freekick rebound.
Terdesak mencari gol, Malaysia melupakan disiplin bertahan. Sekali lagi.
Dalam usaha untuk mencari gol, Malaysia berubah kepada formasi 4-2-4. Safee, Mat Yo, Amri dan Badhri memenuhkan kotak penalti Thailand sebagaimana yang dilakukan Dollah selepas Khairul Amri menjaringkan gol untuk Singapura. Strategi ini tak menjadi atas dua sebab:
1. Shukor dan Muslim merendahkan garisan defensif (dropping back defensive line) Malaysia terlalu cepat sehingga memberi ruang yang sangat besar kepada midfield Thailand.
2. Pemain kita takut melakukan perangkap ofsaid. Mungkin risaukan kelajuan Chanatip Songkrasin dan pemain sayap Thailand.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, perlawanan semalam menunjukkan pemain kita mampu bangkit daripada kekalahan. Tekanan dari peminat dan pengalaman bermain bersama membantu mereka untuk melangkah jauh apabila ramai yang berpendapat barisan Dollah Salleh bakal tersangkut di peringkat kumpulan.
Dari segi taktikal, Dollah mungkin perlu menumpukan usahanya untuk memperbaiki bahagian pertahanan Malaysia yang kelihatan takut untuk bermain garisan defensif yang tinggi (high defensive line), sedangkan itu aspek bertahan yang penting jika kita mahu teruskan strategi tekanan tinggi (high pressing) dalam formasi 4-4-2.
Dan mungkin Dollah juga boleh mencuba pemain-pemain muda tempatan dan menyerap mereka dalam pasukan kebangsaan. Bagi kami, Dollah sudah melakukan kerja yang bagus dengan membawa Malaysia ke final dengan persiapan 2 minggu. Next stop: Layak ke Piala Asia secara merit.