Bola sepak semakin berevolusi dan mengalami perubahan setiap tahun.
Namun, ada satu pembaharuan yang bakal merubah wajah pengadilan bola sepak secara keseluruhan.
Perubahan itu adalah – pengadil boleh mendapatkan bantuan video ketika melakukan keputusan. Ia dikenali sebagai Video Assistant Referee (VAR).
Amerika Syarikat tampil sebagai penguji pertama
Major League Soccer (MLS) menjadi antara liga terawal di seluruh dunia yang dipilih untuk melakukan ujian terhadap sistem VAR ini.
Selain daripada MLS, liga-liga lain yang dipilih untuk menguji VAR ini adalah A-League Australia, Bundesliga dan Serie A Brazil.
Ketika kursus taklimat pengenalan VAR yang dianjurkan oleh International Football Association Board (IFAB) di Red Bulls Arena (gelanggang rasmi New York Red Bulls), usul menggunakan VAR untuk membantu pengadil mendapat sambutan yang baik dari peserta.
Setiausaha IFAB, Lukas Brud (gambar bawah) berkata peraturan ini dapat menambahbaik sistem pengadilan yang sedia ada.
“Kami percaya dengan adanya ujian tambahan, dapat membantu kami untuk memperbaiki eksperimen terhadap protokol dan menlaksanakan prosedur yang menjadi kunci kepada kejayaan pada ujian seterusnya.”
MLS pada mulanya akan menggunakan United Soccer League (USL) iaitu liga divisyen ketiga Amerika Syarikat sebagai tempat untuk menguji VAR.
Kommisioner MLS, Don Garber (gambar bawah) juga merasakan VAR dapat membantu bola sepak.
“MLS adalah liga yang selalu mahu menggunakan teknologi dalam meningkatkan kualiti permainan, dan kami gembira kerana menjadi sebahagian daripada projek VAR ini.”
“Kami percaya sudah tiba masanya untuk sebuah mekanisma diwujudkan untuk membantu pengadil daripada melakukan keputusan yang salah yang boleh mengubah keseluruhan perlawanan.”
Bagaimana VAR akan berfungsi?
VAR akan membuatkan pengadil tambahan mempunyai ‘kerja’ tambahan ketika perlawanan.
Hal ini kerana pengadil tambahan akan memegang pad di tepi padang.
Dalam pad tersebut, terdapat video feed perlawanan yang dirakam dari pelbagai sudut kamera.
VAR akan digunakan untuk menilai situasi-situasi penting seperti:
- Jaringan gol
- Keputusan penalti
- Insiden yang melibatkan pemberian kad merah secara terus
- Kesilapan ketika melakukan keputusan
Sistem komunikasi khas juga akan diwujudkan diantara VAR dengan ketua pengadil untuk memberitahu jika ada kesilapan terhadap keputusan yang dibuat.
Ujian pertama sistem VAR
Sistem VAR digunapakai untuk ujian buat kali pertama di perlawanan USL melibatkan New York Red Bulls II dan Orlando City B.
Hasil ujian itu ternyata membuahkan hasil yang sangat positif apabila situasi kontroversi berjaya diselesaikan menggunakan teknologi VAR.
Seperti contoh, apabila terdapat insiden dimana pemain pertahanan Orlando City B menjatuhkan pemain New York Red Bulls II dikawasan 18 meter.
Insiden itu menjadi kontroversi kerana dari mata kasar penonton, tidak jelas sama ada pemain dijatuhkan di luar atau dalam kotak penalti.
Pengadil bagaimanapun tidak teragak-agak memberikan kad merah terus kepada pemain Orlando City B dan sepakan percuma kepada pasukan New York Red Bulls II.
Pengadil perlawanan kemudiannya menggunakan sistem VAR untuk menyiasat insiden itu.
Ternyata keputusannya memberikan kad merah dan sepakan percuma itu tepat kerana kesalahan yang dilakukan adalah ‘professional foul’ iaitu menafikan peluang menjaringkan gol yang jelas.
Ujian ini masih lagi di peringkat awal. IFAB mempunyai masa sehingga sekurang-kurangnya 2018 atau 2019 untuk melakukan keputusan sama ada ingin mewajibkan peraturan ini dilaksanakan di setiap pertandingan bola sepak ataupun tidak.
Baca juga: 10 Perubahan Buku Peraturan FIFA Yang Perlu Anda Tahu