Mahu mencabar diri serta keluar dari kepompong selesa menjadi faktor utama bekas pertahanan Terengganu, Muhammad Mohd Faudzi memilih bersama Kuala Lumpur City (KL City) pada musim ini.
Walaupun sedar saingan lebih hebat bagi merebut tempat, Muhammad optimis pilihannya bersama pasukan KL City adalah tepat dalam mengembangkan kariernya.
Malah dia teruja dengan suasana harmoni dalam pasukan yang dianggap menjadi antara faktor kekuatan pasukan.
“Memang ini pertama kali bermain di luar Terengganu untuk peringkat senior tetapi itu bukan satu masalah besar kepada saya untuk cepat menyesuaikan diri.”
“Segalanya berjalan dengan baik setakat ini dalam usaha mencari keserasian bersama rakan sepasukan dan berusaha meraih tempat dalam kesebelasan utama.”
“Namun saya akui itu bukan sesuatu yang mudah kerana ramai pemain berpengalaman di bahagian pertahanan dan saya tiada jalan lain perlu berusaha sebaik mungkin.”
“Harap bersama Kuala Lumpur musim ini, saya boleh peroleh pengalaman baharu dalam karier serta itu merupakan satu keputusan tepat untuk datang ke sini,” katanya.
Muhammad menjadi salah seorang pemain yang menjadi nadi penting di bahagian pertahanan Terengganu di awal musim lalu.
Dia sering kali bersaing sengit dengan Shahrul Nizam Ros Hasni bagi menjadi pilihan di bahagian pertahanan tengah bersama Carli de Murga.
Secara keseluruhan, Muhammad beraksi dalam 14 perlawanan bersama Terengganu pada musim lalu dengan 4 daripadanya selaku pemain gantian.
Dalam pada itu, pertahanan berusia 26 tahun berkenaan mengharapkan langkah kanan pada penampilan sulung bersama KL City di Perlawanan Sumbangsih bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi merebut trofi Piala Sultan Haji Ahmad Shah 26 Februari ini.
“Bagi Perlawanan Sumbangsih, kami mengharapkan permulaan yang positif biarpun sedar bukan mudah untuk bertandang di Stadium Sultan Ibrahim.
“Melalui persiapan yang telah dilakukan oleh jurulatih, saya yakin pasukan boleh mendapat rentak sebenar sebelum perlawanan dengan JDT.
“Di atas kertas, JDT mungkin pasukan pilihan tetapi kami juga dahagakan kejayaan bagi meneruskan kecemerlangan yang dibina sejak musim lepas,” katanya.