Kalendar perlawanan antarabangsa FIFA Mac ini adalah peluang pertama untuk Kim Pan-gon dan barisan kejurulatihan baharu skuad Harimau Malaya mengenal barisan pemain.
Bermula esok sehingga penghujung bulan ini, Kim Pan-gon berpeluang menguji seramai 25 pemain untuk menghadapi tiga perlawanan – termasuk dua perlawanan antarabangsa.
Pasukan negara terlebih dahulu akan turun menentang Filipina pada 23 Mac sebelum berhapadan tuan rumah selang tiga hari kemudian, sebelum menutup kunjungan ke Kota Singa itu menentang kelab Liga Singapura, Albirex Niigata.
Berikut adalah antara isu utama pasukan negara yang harus diselesaikan oleh Kim Pan-gon melalui tiga perlawanan ini, sebelum cabaran yang lebih serius menanti pasukan negara di pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023.
Kapten pasukan
Antara perkara terutama yang perlu diputuskan oleh Kim Pan-gon ialah siapakah pemain yang wajar diberikan tugasan memakai lilitan kapten pasukan negara.
Aidil Zafuan dan Farizal Marlias adalah calon paling mudah untuk diberikan peranan tersebut. Namun sekiranya Pan-gon mahukan seorang calon yang boleh menggalas tanggungjawab untuk tahun-tahun mendatang, maka calon yang lebih muda harus mulai diberikan peluang daripada sekarang.
Di kalangan 25 pemain yang dibawa ke Singapura, Nor Azam Azih dan Shahrul Saad dilihat sebagai pemain senior yang masih boleh memainkan peranan untuk tempoh yang lama bersama pasukan.
Sekiranya Pan-gon mahukan sesuatu yang baru dan kelainan, Dion Cools pula dilihat sebagai calon yang sesuai dan mampu memainkan peranan tersebut.
Tidak harus dilupakan ialah Safiq Rahim. Pemain ini memiliki pengalaman dan mentaliti luar biasa serta aura tersendiri di sebalik usianya yang semakin meningkat.
Selepas seminggu bersama barisan pemain, kami pasti Kim Pan-gon sudah melihat sendiri kemampuan serta sifat kepimpinan pemain yang diperlukan untuk bergelar kapten pasukan skuad Harimau Malaya yang baharu.
Jentera tengah yang berkesan
Sejak gandingan Brendan Gan – Syameer Kutty – Nor Azam Azih menyinar untuk pasukan negara di dalam beberapa perlawanan peringkat awal pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, jentera tengah dianggap sebagai bahagian paling bermasalah di dalam pasukan negara.
Kemeruduman prestasi beberapa pemain dan ketiadaaan Brendan yang terpaksa disisih sejak setahun lalu jelas memberikan kesan kepada pasukan negara kendalian Tan Cheng Hoe di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang bersambung di UAE dan juga kejohanan Piala AFF pada Disember lalu.
Untuk tugasan antarabangsa Mac ini, kelompok pemain yang hampir sama turut dipanggil kembali. Syammer Kutty dan Nor Azam dikekalkan dan nama Liridon Krasniqi turut kembali tersenarai selepas digugurkan daripada skuad Piala AFF.
Kim Pan-gon dikatakan akan menampilkan falsafah dan game play yang berbeza berbanding era Tan Cheng Hoe. Bagaimana beliau membentuk gandingan pemain tengah menggunakan ‘set’ pemain yang hampir sama tetapi dengan corak permainan berbeza pasti sesuatu yang dinanti-nantikan.
Penyerang utama
Tiada lagi nama Guilgerme de Paula, maka sekurang-kurangnya tiada lagi meme tidak diperlukan setiap kali pasukan negara gagal di pentas antarabangsa. Pertanyaan seterusnya adalah siapakah pemain yang akan mengepalai jentera serangan pasukan selepas ini?
Berdasarkan senarai 25 pemain yang dibawa ke Singapura, pasukan ini jelas tidak ketandusan pemain yang mampu menghasilkan jaringan.
Kita semua tahu ancaman yang mampu dihadirkan oleh pemain seperti Safawi Rasid, Mohamadou Sumareh, Ahyar Rashid, Arif Aiman, atau pun Kogileswaran Raj ketika mereka berada pada tahap terbaik masing-masing. Namun rata-rata pemain ini adalah penyerang sayap, dan tidak seorang pun daripada mereka adalah pemain No.9 yang sebenar.
Selain daripada nama-nama ini, Pan-gon juga memiliki Luqman Hakim dan Syafiq Ahmad – yang seperti pemain baharu sejak perpindahan ke Kedah.
Menggandingkan kedua-dua pemain di barisan hadapan – Syafiq di belakang Luqman – dilihat satu kemungkinan dan memiliki potensi.
Penutup
Apa-apa pun ia terpulang dengan Kim Pan-gon. Kami yakin semua peminat dan penyokong bola sepak tempatan sudah tidak sabar untuk melihat pembaharuan yang bakal dilakukan oleh jurulatih dari Korea Selatan itu nanti.
Namun demikian harus diingat, keajaiban tidak akan berlaku dengan sekelip mata. Ruang dan masa yang secukupnya harus diberikan kepada beliau untuk membentuk gandingan terbaik pasukan negara.
Hari ini pasukan negara dijadualkan akan terbang ke Singapura. All the best Harimau Malaya.