Jack Wilshere, Aarhus & 7 Tahun Yang Penuh Penderitaan

Jack Wilshere Aarhus

Genap sebulan yang lalu, Jack Wilshere kembali ke kancah bola sepak profesional selepas menandatangani kontrak menyertai kelab Denmark, Aarhus Gymnastikforening  atau lebih dikenali dengan nama AGF.

Kelab ini mungkin tidak sepopular jaguh Denmark yang lain seperti FC Copenhagen atau FC Midtjylland, tetapi ia merupakan salah sebuah pasukan tertua di Scandanavia yang ditubuhkan pada 1880 dan pernah menjulang lima kejuaraan liga.

Ia pastinya menjadi detik yang amat penting buat Wilshere dalam kariernya selepas lama ‘menganggur’ tanpa kelab sejak meninggalkan Bournemouth pada penghujung musim 2020/21.

Jack Wilshere: Prospek Masa Depan England Kini Sekadar Penganggur Terhormat

Lengkap dan sempurna

Wilshere melakukan debut profesionalnya pada September 2008 pada usia 16 tahun 256 hari di mana Arsenal menang ke atas Blackburn Rovers pada perlawanan tersebut.

Ia menjadikan Jack Wilshere sebagai pemain paling muda melakukan debut bersama skuad Arsenal di Liga Perdana Inggeris (EPL). Dua minggu kemudian, beliau memecahkan rekod sebagai pemain Arsenal paling muda beraksi di Eropah pada usia 16 tahun, 329 hari.

Wilshere juga pernah digelar sebagai ‘budak emas’ dalam bola sepak Inggeris dan telah mengumpul 34 kaps bersama skuad kebangsaan England sejak membuat debut ketika berusia 18 tahun. Beliau juga merupakan anggota skuad negaranya di kejohanan Piala Dunia 2014 dan Euro 2016.

Pada suatu ketika, pemain kelahiran Stevenage ini dikenali sebagai seorang pemain tengah yang serba lengkap. Pergerakan, visi, hantaran dan kepimpinannya disebut oleh Arsene Wenger sebagai ‘pemain dengan teknik Sepanyol tetapi berhati Inggeris’.

Pemain veteran Barcelona dan Brazil, Dani Alves pula pernah mengatakan Wilshere berpotensi untuk mencapai tahap yang pernah diraih dua legenda The Blaugrana, Andres Iniesta dan Xavi Hernandes.

Namun segalanya hancur bermula Mei 2015 selepas beliau mengalami kecederaan fibula semasa latihan pra-musim. Pada awalnya Wilshere dilapor akan direhatkan hanya untuk beberapa minggu sahaja.

Malangnya pada menjelang September, beliau terpaksa menjalani satu lagi pembedahan pada kakinya dan diketepikan selama tiga bulan.

Wilshere mengakui sangat kecewa dengan kecederaan tersebut dan berusaha keras untuk mengembalikan tahap kecergasannya, tetapi beliau hanya kembali beraksi selepas 10 bulan.

Tahun-tahun seterusnya di Stadium Emirates, bintang Wilshere semakin pudar. Beliau terus dihantui dengan masalah kecederaan dan kecergasan sehinggalah kontraknya tamat pada Jun 2018.

Kemudian dua tahun bersama West Ham dan seterusnya Bournemouth, reputasinya tidak pernah bertambah baik. Siapa sangka ketika usianya belum pun mencecah 30 tahun, tiada satu pun pasukan dari lima liga terbaik di Eropah yang mahu mengambilnya.

Puncanya adalah rekod kecederaan beliau yang membimbangkan sehingga digelar ‘kaki kaca’.

Cabaran soalan ‘cepu emas’ anak

Beliau pernah dilihat menjalani latihan bersama Arsenal sebagai langkah untuk mengekalkan kecergasannya.

Meskipun dikhabarkan mengatakan beliau bakal menandatangani kontrak jangka pendek bersama bekas kelabnya itu, akhirnya Wilshere memilih Denmark sebagai destinasi terbaharu.

Mungkin bersama Aarhus pendapatannya tidak semewah ketika bersama kelab-kelab EPL, namun amat penting untuk kembali bermain bagi menyara keluarganya di mana beliau kini sudah mempunyai empat orang cahaya mata.

Dalam satu temubual bersama The Guardian, graduan akademi Arsenal ini berkongsi kisah bagaimana beliau berdepan cabaran untuk menjelaskan kepada anak sulungnya bahawa tiada kelab sudi untuk menawarkan kontrak.

Lebih memeritkan, dua orang anaknya yang paling bongsu tidak pernah melihatnya bermain bola sepak dan mungkin tidak tahu apakah pekerjaan ayah mereka.

“Anak-anak saya berada pada umur di mana mereka sudah mula faham, terutamanya Archie yang berusia sembilan tahun,” ujar Wilsher.

“Dia berbual dengan saya dan bertanya ‘Bagaimana dengan MLS?’ atau ‘Kenapa ayah tak main di La Liga?’. Dia memang sukakan bola sepak, dia tahu segalanya tentang bola sepak.

“Jadi agak sukar untuk menjelaskan kepadanya, sehingga dia berkata, ‘Takkanlah tiada kelab yang mahukan awak?’ Saya tak boleh jawab, macam mana saya nak jelaskan kepada dia?

“Mereka ada kawan-kawan di sekolah dan kamu pun tahu soalan budak-budak pun kadang-kadang boleh jadi agak ‘kejam’. Mereka tanya anak saya ‘Kenapa ayah kau tak kerja? Adakah dia tak cukup bagus? Adakah dia tak pandai main bola?’ Ya itu memang menyakitkan.”

Jauhi ‘toksik’

Bercakap mengenai pilihannya untuk beraksi jauh dari tanah air sendiri, Wilshere mengatakan beliau mahu mencuba sesuatu yang baharu dalam suasana dan persekitaran yang lebih positif.

“Saya mahu bermula di mana kelab dan penyokong tidak fikir ‘Oh itu Jack Wilshere, dia mesti akan cedera hari ini’ atau ‘Dia akan main lima perlawanan, itu sahajalah, pelaburan yang membazir’.

“Saya rasa seolah-olah pintu di negara ini [England] telah tertutup buat saya. Saya pun tak tahu kenapa. Mungkin kerana sejarah dan rekod kecederaan saya itu yang orang jadikan sebab, tapi saya rasa itu tak adil.

“Kali terakhir saya alami kecederaan adalah pada Januari 2020. Semua orang asyik ulang ‘Oh buku lali dia, buku lali dia’. Padahal sebenarnya bukan buku lalu, saya ada hernia, ia adalah kecederaan biasa.

“Ia hanya perlukan pemulihan selama 10 hari dan malangnya selepas tu perintah kawalan pergerakan berkuat kuasa. Tapi saya masih mempunyai tahap kecergasan yang baik.”

Jika tujuh tahun lalu ada seseorang dari masa depan yang mengatakan pada tahun 2022 Wilshere sedang beraksi untuk Aarhus di Liga Denmark mungkin berita itu akan menjadi bahan ketawa sahaja.

“Saya berada pada satu titik dalam kerjaya saya di mana saya perlu bermula semula dari bawah selepas melalui tempoh yang cukup sukar,” ujar Wilshere.

“Jadi saya sangat bersyukur di atas peluang yang ditawarkan oleh AGF kepada saya dan saya akan lakukan segala yang termampu untuk membantu dan menyumbang kepada pasukan ini agar lebih maju ke hadapan.”

Penyokong terbaik

Wilshere berpengalaman beraksi untuk Arsenal, West Ham United, Bournemouth dan England dalam stadium yang besar dan di hadapan puluhan ribu penyokong.

Tetapi dalam satu temubual bersama Talksport, beliau secara serius mengakui cukup teruja dengan penyokong Aarhus yang mempunyai aura yang tersendiri.

“Penyokong Aarhus, saya boleh cakap mereka adalah yang terbaik pernah saya lihat. Mereka dah mula menyanyi sejak sesi pemanasan badan lagi. Sedangkan cuma ada 2,500 penyokong sahaja di sana,” ujarnya.

Penutup

Memasuki usia 30-an, amat penting buat Wilshere untuk beraksi bersama pasukan yang bersesuaian dengan kemampuannya. Beliau sendiri pernah menegaskan mahu beraksi sekerap yang mungkin.

“Penting untuk bersama pasukan yang betul di negara yang betul. Saya terbuka untuk menyertai mana-mana pasukan di Eropah,” katanya.

“Saya adalah jenis pemain yang sentiasa mahu bola berada di kaki saya, jadi saya mahu pasukan yang corak permainannya mendominasi penguasaan bola.

“Saya bukanlah terlalu naif untuk merasakan selepas menyertai pasukan baharu saya boleh terus bermain, akan ada proses yang perlu dilalui. Kamu perlu menjalani latihan dengan pasukan, kenali cara permainan rakan sepasukan kamu dan mungkin perlu bermula di bangku simpanan dahulu.”

“Semua pemain akan melalui proses tersebut dan apa yang lebih penting adalah menyertai pasukan yang betul.”

Semuanya BOLA akhirnya telah tiba di TikTok! Ikuti akaun TikTok kami untuk dapatkan info ringkas dan santai mengenai bola sepak dalam bentuk video pendek sekarang.

Jom buat ramai di sana dengan ikuti di tiktok.com/@mysemuanyabola sekarang!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN