Luqman Hakim Terus Berlatih Dengan Selangor, Latihan Di Cardiff Ditangguhkan

Luqman Hakim Tan Cheng Hoe

Jika diikutkan perancangan awal, penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin sepatutnya sudah pun tiba di Cardiff City untuk menjalani latihan bersama kelab tersebut sebelum dijadualkan menyertai kelab Belgium, KV Kortrijk secara rasmi pada bulan Mac dengan kontrak selama lima tahun.

Bagaimanapun, Luqman kini dilaporkan akan terus berlatih bersama pasukan Selangor selepas keberangkatan pemain tersebut ke Wales telah beberapa kali ditangguhkan.

Sebelum ini dilaporkan beliau akan bertolak pada hujung bulan ini, tetapi maklumat terbaru yang dipetik dari New Straits Times pula, ia telah ditangguh ke tarikh 27 Februari kerana ketua jurulatih skuad bawah 19 tahun (B-19), Brad Maloney mahu beliau menjalani latihan pusat.

“Saya dimaklumkan hanya akan berangkat pada bulan Februari memandangkan saya perlu menerima panggilan untuk latihan bersama skuad kebangsaan (B-19) tidak lama lagi. Tetapi setakat ini saya belum dengar apa-apa lagi.

“Ketika ini saya masih berlatih bersama pasukan Selangor,” kata Luqman.

Luqman tidak boleh mengikat kontrak dengan kelab Belgium tersebut sehinggalah usianya mencapai 18 tahun pada 5 Mac ini. Dengan tarikh menandatangi kontrak bersama kelab milik usahawan terkenal Tan Sri Vincent Tan itu dijangka pada 17 Mac, tidak dapat dipastikan adakah Luqman akan sempat untuk berlatih bersama Cardiff City.

Sumber dari pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sendiri tidak dapat memberi kepastian sama ada Luqman akan dipanggil untuk menjalani latihan pusat bersama Maloney.

Sumber lain pula menjelaskan pemergian Luqman ke Cardiff tertangguh disebabkan masalah visa kerana visa pelawat tidak boleh digunakan untuk berlatih atau bermain untuk mana-mana kelab bola sepak di sana.

Kredit Foto: FAM

Leave a Reply