Menjadi satu-satunya pemain Malaysia yang tersenarai dalam kesebelasan terbaik Piala Sanix 2019, menjelaskan bakat Luqman Hakim Shamsudin ada nilainya yang tersendiri.
Dia telah terpilih daripada ratusan pemain yang beraksi dalam kejohanan tersebut dan menariknya telah dipilih dari kalangan ketua jurulatih kelab-kelab yang bertanding.
Menurut laporan Sinar Harian, Luqman kelihatan gembira dengan pemilihan tersebut dan bertekad akan berusaha lebih gigih untuk menjadi pemain yang lebih baik.
“Saya akan berusaha dengan lebih gigih lagi untuk menjadi pemain bola yang terbaik dan ini adalah pencapaian kedua terbaik dalam karier saya,” ujar pemain berusia 17 tahun itu.
Sebagaimana kenyataannya, ini adalah pencapaian kedua terbaiknya dalam karier bola sepak selepas dia telah dinobat selaku penjaring terbanyak Kejohanan AFC B16 2018.
Dalam kejohanan tersebut, Malaysia hanya menamatkan saingan di peringkat kumpulan selepas tewas dua kali dan menang sekali dan berada di dasar Kumpulan A.
Begitupun, Luqman tetap berjaya muncul sebagai antara penjaring terbanyak kejohanan bersama-sama Noah Botic (Australia) dan Shoji Toyama (Jepun) – dengan 5 gol.
Luqman turut menjelaskan yang mereka telah berusaha sehabis baik dalam kejohanan Piala Sanix ini walaupun hanya menamatkan saingan di kedudukan ke-12 kejohanan.
“Alhamdulillah. Saya amat bersyukur dengan kejayaan ini. Kami telah berusaha sehabis baik untuk kejohanan pada kali ini.
“Pengalaman bermain di sini sangat berharga kerana kami bersaing dengan kelab-kelab terbaik di Jepun,” ujarnya lagi.
Tersenarai dalam kesebelasan terbaik kejohanan ini bakal membuka mata beberapa kelab Jepun yang dikhabarkan sedang mengintai bakat anak muda kelahiran Kelantan ini.
Memetik laporan Stadium Astro, Pengarah Urusan Yakult Malaysia Sdn Bhd, Hiroshi Hamada menyatakan terdapat 5 buah kelab berminat untuk melihat aksinya.
Yakult Malaysia adalah pihak yang bertanggungjawab membawa skuad remaja negara ke kejohanan tersebut dan turut akan membantu Luqman sekiranya dijemput menghadiri sesi pemilihan.
“Kemampuannya diiktiraf dan prestasinya telah dinilai oleh Persatuan Bolasepak Jepun (JFA).
“Kami gembira sekiranya dia berminat untuk beraksi di Jepun dan terpulang kepadanya untuk menyertai Liga Jepun, saya gembira untuk membawanya ke sini,” ujar Hamada.
Luqman turut tidak menolak kemungkinan untuk berhijrah dan beraksi di luar negara sekiranya ada kelab yang berminat.