Media tempatan semalam melaporkan sebuah pasukan divisyen 1 Liga Jepun (J1), Cerezo Osaka dikhabarkan berminat untuk mendapatkan khidmat bekas penjaring terbanyak kejohanan AFC B-16, Luqman Hakim Shamsudin.
Menurut sumber daripada Berita Harian, Luqman dijemput untuk menyertai sesi latihan bersama pasukan tersebut bermula Ogos ini dan turut diintai oleh beberapa pasukan daripada liga divisyen dua.
“Saya dimaklumkan beberapa pasukan khususnya pasukan dari divisyen dua (J2) berminat untuk melihat corak permainannya selepas tertarik dengan prestasi Luqman pada Piala Sanix 2019.
“Namun, Cerezo Osaka mungkin pilihan yang lebih baik memandangkan mereka beraksi di divisyen satu dan sudah tentu mereka akan memberikan pengalaman lebih baik kepada Luqman,” kata sumber berkenaan.
Malah, Pengarah Urusan Yakult (Malaysia) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada pernah mengesahkan 5 kelab Jepun telah menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat bintang muda negara berdasarkan prestasinya dalam kejohanan Piala Sanix di Fukuoka pada bulan Mac lalu.
Dalam kejohanan itu, Luqman menjadi satu-satunya pemain Malaysia yang tersenarai dalam kesebelasan terbaik Piala Sanix 2019. Dia telah terpilih dalam kalangan ratusan bakat muda yang hebat dan paling menarik, beliau telah dipilih sendiri oleh ketua jurulatih kelab-kelab yang bertanding.
Beliau berkata, pihaknya akan mengumpulkan data dan video aksi pemain itu untuk diberikan kepada wakil kelab tersebut untuk dinilaikan sebelum membuat tawaran rasmi.
“Saya rasa ini adalah berita yang baik untuk Luqman. Saya mendapat berita ada lima pasukan liga Jepun yang bertanyakan mengenai dia.
“Mereka tertarik dan mahu melihat sendiri prestasi individu dari Luqman. Saya akan kumpulkan semua data dan video prestasi Luqman secara individu untuk diberikan kepada mereka.
“Apapun semuanya terpulang kepada Luqman sekiranya dia ingin bermain di sini,” katanya dalam Harian Metro.
Hamada turut menjelaskan pihak Yakult sedia membantu Luqman mendapatkan tempat beraksi dengan kelab di negara matahari terbit itu sepertimana mereka membantu Hadi Fayyadh menyertai kelab J2, Fagiano Okayama.
“Kami bukan ejen bola sepak, kami hanya membantu mana-mana pemain Malaysia yang berminat dan layak untuk mendapat tempat di sini,” katanya.
Sementara itu, Luqman kini sedang fokus dengan sesi latihannya di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan sedia menimbangkan tawaran tersebut jika benar.
“Sekiranya perkara ini betul, saya amat bersyukur dan akan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu. Buat masa ini, saya masih lagi fokus dengan latihan saya di Akademi Mokhtar Dahari (AMD),” katanya ketika dihubungi oleh pihak Berita Harian..