Terengganu FC mencatatkan kemenangan tipis 2-1 berdepan Pahang pada pertemuan suku akhir pertama Shopee Piala FA 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu sebentar tadi.
Aksi 45 minit pertama jelas menjadi milik Terengganu FC apabila skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu lebih banyak menjelmakan serangan berbahaya sehingga berjaya mencipta dua jaringan.
Tuan rumah membuka tirai jaringan seawal minit ke-9 menerusi Abdul Malik Mat Ariff yang berjaya membaca dengan baik lorongan dilakukan Lee Tuck dan sekaligus memperdayakan penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias untuk gol pertama perlawanan.
Tersentak dengan jaringan itu, Pahang cuba untuk menyamakan kedudukan dengan asakan pada minit ke-17, namun sentuhan akhir Herold Goulon ketika situasi kelam-kabut dalam kawasan penalti Terengganu FC berjaya dihalang Mohd Suffian Ab Rahman.
Berselang 10 minit kemudian, kesilapan Goulon memakan diri bagi memberikan gol kedua buat Terengganu FC.
Tolakan ke belakang Goulon dalam usaha menghantar bola ke Helmi Eliza berjaya dipintas Tchetche Kipre lalu melepaskan percubaan dari sudut sukar bagi melebarkan kedudukan.
Ketinggalan dua jaringan, Pahang menggandakan asakan sebaik sahaja aksi babak kedua bersambung.
Usaha mereka bagi merapatkan kedudukan membuahkan hasil pada minit ke-58 menerusi pemain import Brazil, Ze Love.
Jaringan tersebut berpunca daripada hantaran lintang dari sebelah kiri pintu gol Terengganu oleh Matt Davies yang ditanduk masuk Ze Love tanpa sebarang masalah menewaskan Suffian.
Pahang hampir menyamakan kedudukan berselang enam minit kemudian selepas rembatan Ze Love dari luar kawasan penalti gagal ditangkap kemas Suffian Rahman.
Norshahrul Idlan Talaha yang mempunyai ruang cukup luas untuk menjaringkan gol hanya menanduk tersasar bola bagi menyelamatkan gawang Terengganu FC.
Terengganu FC juga berusaha keras untuk menambah jaringan menerusi Kipre tetapi percubaannya pada masa kecederaan dinafikan Helmi Eliza.
Keputusan 2-1 itu kekal hingga tamat permainan untuk Terengganu membawa bekalan tipis pada pertemuan suku akhir kedua di Stadium Darul Makmur, 10 Mei nanti.
Pahang pula mungkin sedikit lega dengan bekalan satu jaringan tempat lawan yang dihasilkan oleh Ze Love itu.
Selain itu, keputusan malam ini juga merupakan kekalahan pertama buat Pahang bagi kempen Liga Malaysia 2019.