Luke Shaw berkata ianya hanya mengenai masa sebelum Manchester United kembali menampilkan aksi terbaik.
Pemain itu berkata demikian selepas menandatangani kontrak baharu selama lima tahun untuk kekal di Old Trafford.
Shaw dilaporkan akan menerima £150,000 seminggu daripada kontrak baru tersebut.
Kontrak asal pemain pertahanan berusia 23 tahun itu akan tamat pada musim panas akan datang. Karier Shaw bersama United selama ini dibayangi oleh kecederaan yang menghadkan beliau kepada 75 penampilan sahaja sejak tiba di Old Trafford pada 2014.
Malah pada satu ketika pada musim lalu, Shaw sendiri membayangkan ianya adalah mustahil untuk beliau kekal bersama Manchester United melangkaui musim ini.
Namun prestasi bek kiri itu pada musim ini menunjukkan indikasi beliau telah meletakkan episod duka sebelum ini di belakang.
Aksi konsisten beliau, adalah salah satu perkara positif yang boleh diambil dari musim serba tidak kena skuad kendalian Jose Mourinho.
Prestasi beliau bersama Manchester United turut mendapat perhatian Gareth Southgate yang kembali membuat panggilan untuk pemain itu menyertai pasukan England.
“Saya sudah tidak sabar untuk menyambung kembali perkembangan karier di bawah Jose Mourinho,” ujar Shaw.
“Pada pendapat saya ianya hanya soal masa untuk kejayaan kembali ke kelab ini.
“Kami mempunyai kumpulan pemain yang hebat. Bakat pemain di sini amat menggerunkan. Kelab ini memiliki ramai pemain muda yang dahagakan kejayaan menjulang trofi.
Pemain pertahanan England itu menyertai Manchester United dari Southampton pada 2014 dengan tanda harga £27 juta, dan dianggap sebagai antara prospek yang bakal menyinar.
Bergelut untuk membuktikan keupayaan beliau di era Louis van Gaal, karier Shaw turut dibanyangi beberapa siri kecederaan, termasuk patah kaki ketika aksi menentang PSV Eindhoven dalam saingan UEFA Champions League pada musim 2015/16.
Shaw turut tidak lari dari kritikan Jose Mourinho mengenai kesungguhan dan kecergasan beliau, namun kali ini pemain ini berjaya bangkit untuk membuktikan diri kepada pengurus dari Portugal itu.