Pemain tengah Real Madrid yang menikmati anugerah Pemain Terbaik Tahunan UEFA, Luka Modric mengakui bahawa bekas rakan sepasukannya, Cristiano Ronaldo ada menghubungi bagi memberikan ucapan tahniah.
Ronaldo yang tidak kelihatan pada majlis di Monaco itu turut mengatakan Modric layak untuk menerima pengiktirafan tersebut.
Menurut sumber Goal, bintang dari Portugal itu sebelum ini dikatakan tidak gembira dengan keputusan akhir pada majlis itu kerana pelbagai rekod jaringan telah diciptanya pada musim lalu.
Bagaimanapun, pemain tengah kreatif berusia 32 tahun itu mendedahkan bahawa Ronaldo mengucapkan tahniah buatnya serta mengakui rakannya itu layak untuk menerima anugerah tersebut.
”Saya gembira untuk memenangi satu lagi gelaran besar, kita akan lihat apa yang akan berlaku nanti,” jelas Modric selepas ditemui wartawan selepas perlawanan persahabatan bertemu Portugal.
”Saya mempunyai hubungan yang baik bersama Cristiano Ronaldo dan kami juga mempunyai hubungan yang baik pada masa hadapan.”
”Anugerah individu adalah penting tetapi saya tidak obses dengan perkara itu.”
”Cristiano (Ronaldo) menghantar mesej kepada saya, mengucapkan tahniah dan mengatakan bahawa dia gembira dengan kejayaan saya dan saya layak untuk memenanginya.”
”Dia juga berkata tidak sabar untuk menemui saya lagi.”
Modric dan Ronaldo berjaya membantu Real Madrid meraih kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah buat kali ketiga berturut-turut.
Aksi cemerlang Modric berterusan apabila beliau menjadi antara nadi kekuatan skuad Croatia sehingga mara ke perlawanan akhir Piala Dunia 2018 seterusnya dipilih sebagai pemenang anugerah Golden Ball.