Luis Suarez berkata beliau menjangkakan sambutan hangat dari penyokong Liverpool di Anfield – dan berjanji tidak akan meraikan sekiranya menjaringkan gol di stadium tersebut.
Sebelum ini Suarez dikritik hebat oleh penyokong Liverpool yang berkecil hati dengan tindakan bekas pemain mereka itu menjaringkan gol pembukaan dalam perlawanan yang berlangsung di Nou Camp pada minggu lalu.
Suarez menjaringkan gol pertama perlawanan, sebelum dua lagi gol oleh Lionel Messi mengesahkan kemenangan 3-0 Barcelona dalam perlawanan separuh akhir pertama UEFA Champions League itu.
Pemain antarabangsa Uruguay itu pernah menyarung jersi Liverpool selama lebih tiga musim sebelum berhijrah ke La Liga pada 2014. Beliau melakukan 133 penampilan dan merekodkan 82 gol untuk Liverpool sepanjang tempoh itu.
Barcelona akan hadir ke Anfield dalam perlawanan pada awal pagi nanti dengan bekalan cukup selesa. Satu lagi gol oleh Barcelona di Anfield, bermakna Liverpool harus menjaringkan lima gol untuk menghidupkan peluang mereka mara ke perlawanan akhir.
Namun Suarez dalam sidang media sebelum hari perlawanan berjanji tidak akan berbuat demikian di hadapan penyokong The Kopites.
“Semua orang di dalam bola sepak tahu betapa pentingnya berjaya menjaringkan gol di separuh akhir. Saya menghormati penyokong Liverpool dan meminta maaf kerana meraikannya [selepas menjaringkan gol],” ujar Suarez merujuk kepada kejadian di Nou Camp pada minggu lalu.
“Saya masih menghormati Liverpool dan sekiranya saya menjaringkan gol [di Anfield], saya tidak akan meraikannya sepertimana saya tidak pernah meraikannya ketika kembali ke kelab lama sepanjang karier saya,” tambah beliau lagi.
Suarez merupakan anggota skuad Liverpool yang berjaya mengembalikan mereka ke saingan UEFA Champions League pada 2014, dan hampir membantu mereka merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada musim yang sama.