Quantcast

KAJIAN & FAKTA

7 Sebab Liridon Krasniqi Tidak Layak Sarung Jersi Harimau Malaya Sebagai Pemain Naturalisasi

Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi sebelum ini pernah mengesahkan skuad Harimau Malaya kendalian Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe bakal diperkuatkan oleh seorang lagi pemain naturalisasi selepas Mohamadou Sumareh.

Antara calon yang dikatakan serius untuk dipertimbangkan ialah pemain kelahiran Kosovo, Liridon Krasniqi.

Walaupun bersetuju program naturalisasi boleh dijadikan penyelesaian jangka masa pendek untuk memantapkan prestasi pasukan negara di pentas antarabangsa, artikel ini bagaimanapun menggariskan 7 sebab mengapa Liridon Krasniqi bukan calon yang sesuai untuk dinaturalisasikan sebagai pemain negara.

1. Bukan pemain berpasukan

Perkara pertama ketika nama Liridon disebut sebagai antara calon pemain naturalisasi yang terus ke minda penulis ialah beberapa insiden yang berlaku melibatkan pemain ini pada musim lalu. Jika anda masih ingat, satu video pergaduhan melibatkan Liridon dengan bekas rakan sepasukan di Kedah telah menjadi tular.

Menerusi rakaman video itu, kelihatan Liridon Krasniqi melakukan terjahan keras ke atas Syazwan Zainon sehingga menimbulkan pertengkaran antara mereka. Ia juga memaksa Baddrol Bakhtiar masuk campur dan hampir berlaku pergaduhan. Timbul tanda tanya, adakah Liridon benar-benar adalah seorang pemain berpasukan yang turut boleh menyumbang kepada keharmonian pasukan?

2. Tidak menghormati jurulatih

Semua orang tahu bagaimana pemain dari Kosovi ini pernah memperkenalkan dirinya sebagai legenda pasukan Kedah. “Kepada keluarga Kedahku, dengan di sini dengan teliti. Ini legenda anda, Matdon bercakap,” ujar beliau. Tidak ada masalah dengan itu. Ia mungkin salah satu cara beliau berkomunikasi dengan penyokong.

Namun tindakan beliau selang beberapa jam kemudian dengan menyelar bekas pengendali Kedah, Nidzam Adha sebagai pengecut  di media sosial mengundang pertanyaan. Adakah Liridon tahu bagaimana untuk menghormati jurulatih atau pengendali pasukan?

3. Tidak layak dari segi perundangan?

Siapa pun pemain naturalisasi seterusnya, beliau pasti akan dibandingkan dengan Mohamadou Sumareh yang kini beraksi untuk pasukan Pahang. Sumareh dikatakan telah bermastautin di negara ini lebih dari 10 tahun bersama keluarganya, sebelum menyarung jersi PDRM sebagai pemain import sejak 2013.

Menurut perkara 19(1), seseorang yang berumur lebih daripada 21 tahun dan bukan warganegara malaysia boleh memohon kewarganegaraan Malaysia melalui kemasukan dengan syarat bahawa:

  • Telah bermastautin di Persekutuan sekurang-kurangnya 10 tahun dalam tempoh 12 tahun sebelum tarikh permohonan itu.
  • Berniat hendak bermastautin tetap di Persekutuan
  • Berkelakuan baik
  • Mempunyai pengetahuan yang memadai dalam Bahasa Melayu.

Tan Cheng Hoe bersama pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh. FOTO: FAM

Liridon mula beraksi di Liga Malaysia pada 2015 – bersama pasukan Kedah. Tiada rekod menyatakan Liridon pernah menetap di Malaysia sebelum tempoh tersebut, kerana beliau juga sedang mengembangkan karier bersama Fethiyespor di Turki sebelum itu. Walaupun FIFA tidak mempunyai halangan untuk pemain antarabangsa yang bertukar kewarganegaraan, Liridon jelas belum memenuhi syarat perundangan negara.

4. Tiada pasukan

Andai laporan dari Sabah News Today  ini diambil kira, ini bermakna Liridon Krasniqi kini adalah pemain yang tidak terikat dengan mana-mana pasukan di Liga Malaysia pada hari ini. Skuad Melaka United dilaporkan  telah memanfaatkan jendela perpindahan kedua Liga Malaysia yang dibuka pada 2 Mei lalu apabila membawa masuk pemain kelahiran Serbia, Luka Milunovic bagi menggantikan tempat Liridon yang mengalami kecederaan.

Dengan Milunovic, Melaka United sudah pun mempunyai senarai lengkap pemain import terdiri daripada Jang Suk-Won, Darko Markovic, Patrick Reichlet, dan Casagrande. Bagaimanapun jendela perpindahan masih terbuka untuk perpindahan pemain. Adakah Melaka United atau pasukan-pasukan lain akan mengambil kesempatan ini untuk mendaftarkan Liridon? Jika tidak, bagaimana mungkin beliau akan dinaturalisasikan.

5. Harimau Malaya tidak perlukan Liridon

Apa pula keperluan sebenar skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe? Adakah benar khidmat pemain tengah seperti Liridon benar-benar diperlukan oleh pasukan negara? Apakah impak positif untuk pasukan negara sekiranya mengambil khidmat Liridon? Semua pertanyaan ini perlu dijawab terlebih dahulu oleh FAM sebelum membuat keputusan mengenai pemain ini.

Syamer (kanan) bersama skuad kebangsaan. Foto: South China Morning Post

Melalui pengamatan, skuad Harimau Malaya sebenarnya kekurangan pemain di posisi penyerang dan bukannya di bahagian tengah. Antara pemain tempatan yang pernah dipanggil dan seharusnya diberikan lebih banyak peluang di posisi yang sama bersama pasukan kebangsaan ialah Akram Mahinan, Syameer Kutty, dan juga Afiq Fazail. Bukankah Tan Cheng Hoe juga boleh memanggil khidmat Natxo Insa sekiranya diperlukan? Menjadikan Liridon pemain naturalisasi dengan alasan memperkukuhkan pasukan kebangsaan ialah tindakan langkah ke belakang dari FAM.

6. Faktor kecederaan

Kecederaan terbaru Liridon Krasniqi bersama pasukan Melaka United sebenarnya agak misteri. Sejak bulan April lalu, Liridon gagal beraksi dengan skuad Melaka United kerana mengalami kecederaan dan mendapatkan rawatan di Jerman. Situasi itu menjejaskan perancangan pengendali pasukan, Zainal Abidin Hassan yang perlu mencari pengganti dengan segara.

Aksi Liridon Kasniqi ketika menentang PJ City FC. FOTO: MUSA

Ini bukanlah kali pertama Liridon menghilangkan diri ke luar negara kerana ketika bersama Kedah, Liridon pernah menghilang dan kemudian kembali selepas 7 perlawanan. Dan Kedah melalui fasa sukar sepanjang ketiadaannya apabila gagal merekodkan sebarang kemenangan sepanjang hampir dua bulan pada musim lalu.

Soalan seterusnya, adakah Liridon akan hilang secara misteri dengan alasan kecederaan setiap kali dipanggil mewakili pasukan negara pada masa akan datang?

7. Hanya menguntungkan pasukan tertentu

Berdasarkan enam sebab di atas, ianya jelas Liridon Krasniqi bukan calon sesuai dijadikan pemain naturalisasi untuk mewakili negara. Untuk menjadikan seseorang pemain luar sebagai pemain naturalisasi, ia satu perkara yang perlu diambil secara sangat serius oleh FAM. Ini kerana ia sama seperti memberikan kewarganegaraan kepada individu luar.

FOTO: Facebook KFA

Andai kata ianya menjadi satu kesilapan oleh FAM, ini bermakna Liridon bebas menyertai mana-mana pasukan di Liga Malaysia sebagai pemain tempatan. Sudah pasti pasukan-pasukan Liga Malaysia akan berebut untuk mendapatkan tandatangan beliau di atas kontrak pasukan masing-masing. Secara tidak langsung, perkara ini hanya akan memberikan kelebihan tidak munasabah kepada pasukan tertentu – sekaligus mewujudkan persaingan tidak sihat di Liga Malaysia hasil kesilapan oleh FAM sendiri.

Rumusan

Artikel ini bukan bertujuan untuk memburukkan mana-mana pihak. Tetapi ia dihasilkan kerana sifat sayang akan pasukan negara. Tanpa membantah kaedah FAM mengambil pemain naturalisasi sebagai penyelesaian jangka masa pendek untuk menambahbaik prestasi pasukan negara di pentas antarabangsa, penulis berpendapat ia harus dilakukan dengan teliti dengan setiap kesan di masa hadapan harus diperhalusi secara terperinci.

Penulis juga berharap penekanan yang sama penting turut diberikan kepada pembangunan akar umbi di negara ini, agar lebih ramai bakat baru bertaraf dunia mampu dihasilkan negara di masa hadapan.

 

Nota editor: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi.

 

 

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!