Luis Enrique yang kembali menjadi pengurus skuad kebangsaan Sepanyol pada 19 November 2019 mengakui bahawa beliau amat kagum melihat sifat kepimpinan dan kualiti peribadi dimiliki ketua pasukan La Roja, Sergio Ramos.
Pengendai berusia 49 tahun itu mendedahkan perkara tersebut dalam satu sesi soal jawab bersama peminat yang dilakukan di laman sosial FA Sepanyol, seperti dilaporkan Marca.
”Hubungan saya bersama Ramos adalah sangat baik, sama seperti bersama 99.9 peratus pemain.”
”Sergio Ramos merupakan seorang ketua pasukan. Saya mengenali dia kerana saya pernah beraksi menentangnya dan juga daripada apa yang orang lain katakan mengenainya,” ujar Luis Enrique.
”Apabila saya berjumpa dengannya, saya benar-benar terkejut. Anda dapat lihat inilah sebabnya mengapa dia memegang rekod penampilan terbanyak buat pasukan Sepanyol.”
”Saya sangat terkejut dengan sifat kepimpinan dan kualiti peribadi yang dimilikinya,” ujar Enrique lagi memuji kapten beliau itu.
Ramos, 33 tahun, telah membuat 170 penampilan bersama pasukan Sepanyol setakat ini dan menjadikannya sebagai pemain yang paling banyak beraksi untuk juara Piala Dunia 2010 itu. Berkelebihan tiga perlawanan berbanding penjaga gol legenda, Iker Casillas.
Daripada 170 penampilan yang dinikmati oleh Sergio Ramos, beliau berjaya menjaringkan 21 gol di pentas antarabangsa.
Dalam pada itu andai disingkap kembali, sebaik sahaja beliau dilantik sebagai pengurus pasukan pada September 2018, Luis Enrique pernah menyuarakan pendapat bahawa Ramos adalah seorang pemimpin yang hebat.
”Apabila anda melihat dia (Ramos) bersaing, dia memahami dia adalah seorang pemain yang terpilih, dia sudah tahu mengetahui perkara ini.”
”Dia merupakan pemimpin yang hebat dalam apa jua situasi. Saya gembira dengannya. Saya mengharapkan tahap yang tinggi tetapi dalam keadaan ini dia telah melepasinya (jangkaan saya).”
Kredit foto: Matthias Hangst/Getty Images